Lazada Malaysia

Pegawai Polis Dipenjara Sehari, Denda RM15,000 Guna Dokumen Palsu Buat Tuntutan

SHAH ALAM, 18 Jan (Bernama) -- Seorang pegawai polis berpangkat ASP dihukum penjara sehari dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati menggunakan dokumen palsu bagi membuat tuntutan untuk kerja-kerja pembaikan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, tujuh tahun lepas.

Hakim Mat Ghani Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Samsudin Sirat, 56, yang berdepan tiga pertuduhan.

Dalam penghakimannya, Mat Ghani berkata selepas meneliti keterangan saksi dan fakta kes, beliau mendapati kesalahan yang dilakukan tertuduh tidak begitu serius dan lebih kepada kesalahan teknikal iaitu tuntutan palsu.

Selain itu, mahkamah melepaskan Samsudin dengan bon berkelakuan baik selama setahun dan jaminan RM10,000 tanpa deposit serta seorang penjamin mengikut Seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Mengikut pertuduhan pertama, Samsudin didakwa menggunakan Surat Sebutharga Deng Engineering & Trading bertarikh 7 Jan 2005 yang diketahuinya palsu di Pejabat Cawangan Logistik Bekalan IPK Selangor, Seksyen 15 pada Februari 2005.

Pertuduhan kedua pula mendakwa dia menggunakan Invois Deng Engineering & Trading bertarikh 14 Mac 2005 yang diketahuinya palsu di tempat sama pada 14 Mac 2005.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Samsudin didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan ketiga, dia didakwa menggunakan Pesanan Kerajaan dan Invois Deng Engineering & Trading bertarikh 14 Mac 2005 yang mengandungi butiran palsu iaitu syarikat berkenaan telah melakukan pembaikan di stor bekalan IPK Selangor sedangkan kerja-kerja itu tidak dilaksanakan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Cawangan Logistik Bekalan IPK Selangor, Seksyen 15 pada 23 Feb 2005 mengikut Seksyen 11(C) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali nilai suapan atau RM10,000, atau mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Wan Ahmad Nidzam Wan Omar manakala Samsudin diwakili peguam Feisal Mustapha.

Sumber BERNAMA


Blog, Updated at: Wednesday, January 18, 2012

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

Lazada Malaysia

NUFFNANG