Lazada Malaysia

Najib Tidak Bimbang Serangan Peribadi Oleh Pembangkang

 KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak bimbang dengan serangan peribadi yang semakin memuncak yang dilancarkan pembangkang terhadapnya kebelakangan ini.

Menyifatkan perkara itu sebagai biasa dalam dunia politik, Perdana Menteri berkata keadaan itu lebih teruk berlaku kepada pihak yang menyerangnya.

"Biasalah... biasa... tapi dia lagi teruk kena," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn di sini, Jumaat malam.

Turut hadir Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, naib-naib presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan setiausaha agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ditanya mengenai kebocoran maklumat kerajaan, Najib berkata kerajaan cuba menyekat perkara itu daripada berlaku tetapi dalam dunia tanpa sempadan, perkara itu amat sukar untuk dilakukan.

Mengenai isu Felda, beliau berkata segala dakwaan pembangkang akan dijawab dalam persidangan Dewan Rakyat minggu depan.

"Dakwaan itu tidak benar... perkara ini akan dijawab di Parlimen minggu depan. Datuk Ahmad Maslan (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) ada semua faktanya. (Dakwaan) ini sama sekali memutarbelitkan keadaan," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan mengeluarkan arahan menghentikan Projek Lynas sementara menunggu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Mengenai Projek Kilang Nadir Bumi Lynas bermesyuarat, Najib berkata: "Mereka tidak meneruskannya. Biarlah PSC membincangkan isu itu."

Pada Khamis, Najib berkata kerajaan tidak akan membenarkan projek Lynas di Gebeng, Kuantan di Pahang beroperasi jika bukti saintifik menunjukkan projek itu memudaratkan kesihatan dan mencemar alam sekitar.

Ketika diminta mengulas cadangan Australia berkaitan perjanjian pertukaran pencari suaka dengan Malaysia yang kembali menjadi agenda, Perdana Menteri berkata beliau tidak mempunyai maklumat terkini berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, beliau berkata: "Keputusan kini di tangan mereka. Saya tidak boleh mengulas... terserah kepada mereka untuk melaksanakan apa yang sewajarnya."

Pada Khamis malam, Menteri Luar Australia yang baru, Senator Bob Carr berkata cadangan perjanjian pertukaran pencari suaka dengan Malaysia kembali menjadi agenda pada masa Parlimen membahaskan undang-undang untuk meminda Akta Migrasi.

Anggota Parlimen Bebas Rob Oakeshott memperkenalkan Rang Undang-undang Ahli Persendirian minggu lepas dalam usaha memecahkan kebuntuan berkaitan isu pencari suaka dan menjadikan pemprosesan luar pesisir sebagai sah.

-- BERNAMA


Blog, Updated at: Saturday, March 24, 2012

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

Lazada Malaysia

NUFFNANG