Lazada Malaysia

Buru Individu Enggan Serah Diri - POLIS


credit to Berita Harian

Putrajaya: Polis terpaksa memburu mereka yang disyaki mengibarkan bendera 'baru' dan menghina pemimpin negara, kerana masih berdegil dan enggan menyerah diri.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata polis sudah memberikan peluang beberapa hari kepada semua individu terbabit, namun mereka tidak tampil memberikan kerjasama secara sukarela.
“Polis sudah memberikan peluang, namun mereka berdegil dan polis terpaksa bertindak. Tangkapan dibuat pagi tadi (semalam),” kata beliau melalui Twitternya, semalam.

Semalam, polis menahan seorang pelajar kolej swasta di Taman Maluri, Cheras, bagi membantu siasatan berhubung perbuatan menghina gambar pemimpin negara pada malam sambutan Kemerdekaan di Dataran Merdeka, 30 Ogos lalu.

Kelmarin, polis mengedarkan gambar 11 individu diburu berikutan kejadian itu serta meminta mereka menyerah diri secara sukarela untuk membantu siasatan.

Hishammuddin berkata, beliau sudah diberikan taklimat oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, mengenai perkembangan siasatan dan tangkapan yang dilakukan.

Katanya, kes itu berhubung kait dengan kepentingan umum kerana ia membabitkan insiden membaling batu, memijak gambar (pemimpin negara) dan mencemar Jalur Gemilang.
Sementara itu, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi dalam kenyataan berasingan menyifatkan kejadian mengibar bendera baru sebagai ganti Jalur Gemilang, sebagai perbuatan yang mencabar kedaulatan negara.

Katanya, jika tidak dibendung, perbuatan sedemikian boleh menyemai rasa benci dalam kalangan masyarakat sekali gus menjejaskan kepentingan awam.

“Masyarakat perlu faham apa yang berlaku adalah bertentangan dengan norma masyarakat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, KDN komited untuk memastikan tindakan tegas dikenakan ke atas mereka yang terbabit dalam perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Di KUANTAN, beberapa badan bukan kerajaan mengutuk perbuatan itu dan membuat laporan polis meminta siasatan dilakukan segera bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab.

Mereka termasuk Wira Perkasa Pahang, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Kelab Belia 4B, Majlis Belia Daerah Kuantan dan Kelab Bell Belia Tamil Kuantan.


Blog, Updated at: Wednesday, September 05, 2012

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

Lazada Malaysia

NUFFNANG