KUCHING: Persatuan Persaudaraan Dayak Islam Malaysia, Sarawak (PEDI) menyokong penuh serta berbangga dengan kenyataan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem yang menghalang kemasukan golongan pelampau kaum dan agama ke Sarawak.
Presidennya Datuk Seri Profesor Dr Razali Bolhi berkata PEDI berpendapat kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Semenanjung Malaysia telah menghasut orang asal di negeri ini agar menentang pembangunan berkepentingan rakyat seperti Empangan Bengoh, Projek Hidroelektrik Bakun, Murum dan Baram.
“NGO ini turut menghasut penduduk asal Sarawak agar menentang aktiviti perladangan kelapa sawit khususnya di kawasan pedalaman sedangkan ia berfungsi meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
“Mereka ini menerusi NGO tempatan meracuni pemikiran penduduk pedalaman Sarawak tambahan dengan dana disalurkan dari luar negara, agenda mereka diperkukuhkan dengan berlandaskan perjuangan hak asasi dan alam sekitar,” ujarnya.
Razali menambah, NGO ‘haram’ dari kalangan orang Sarawak juga mendapat laba atau keuntungan dengan menerima gaji bulanan dan imbuhan mengadakan program mendekati rakyat (outreach) dan bina upaya bertujuan menimbulkan kebencian masyarakat peribumi kepada kerajaan.
Mereka katanya, sering bermain dengan sentimen untuk menimbulkan rasa marah sehingga menimbulkan paradigma dalam kalangan penduduk asal dan rakyat Sarawak amnya untuk menentang segala bentuk pembangunan diusahakan kerajaan.
“Mereka sebenarnya lebih rela melihat orang asal Sarawak hidup dalam keadaan daif dan menjadi objek tontonan demi membuktikan kepada orang luar bahawa nasib kumpulan minoriti ini tidak dipeduli kerajaan maka perlu diperjuangkan.
“Oleh yang demikian, usaha NGO tersebut perlu dihalang daripada terus dibiarkan berleluasa.
“Syabas atas keberanian Ketua Menteri kerana memberi keutamaan menjaga kemakmuran dan keamanan Sarawak ,” tegasnya.
Menurut Razali, Sarawak merupakan negeri yang merdeka pada 22 Julai 1963 dan menyertai pernubuhan Malaysia dengan persefahaman duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan Malaya, Singapura dan Sabah.
“Tempoh 50 tahun merupakan jangka masa yang lama, kalau diandaikan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun pada 1963, hanya memerlukan kasut kecil berharga RM1.80 sepasang ketika itu.
“Namun kini, usia beliau sudah menjangkau 60 tahun, keperluan haruslah jauh lebih besar yang memerlukan penyesuaian dengan kehendak semasa.
“Begitu juga halnya dengan kehendak keadaan kehidupan rakyat Sarawak,” katanya.
Sementara itu, mengenai Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian pada 29 Mac ini, beliau memohon semua ahli dan masyarakat Dayak Islam di kawasan berkenaan turun mengundi serta memilih calon Barisan Nasional (BN) Yussibnosh Balo.
Sokongan padu itu penting katanya bagi memastikan perjuangan politik pembangunan BN yang dipelopori ADUN sebelum ini Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, berterusan.
sumber Borneo Post
0 comments:
Post a Comment
Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.