MUKAH: Seorang warga emas berusia
70-an terpaksa menanggung kerugian bernilai RM10,000 selepas mendakwa ditipu
oleh seorang wanita tidak dikenali yang kononnya ingin menawarkan bantuan
kebajikan.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Omar
Bakhtiar Yacoob memberitahu, menurut laporan mangsa, kejadian tersebut berlaku
ketika mangsa sedang membeli-belah di pasar pada kira-kira jam 11.30 pagi, 8
April lepas.
Menurut beliau, mangsa tiba-tiba
dipeluk oleh seorang suspek wanita berumur 30-an tidak dikenali yang menawarkan
bantuan kebajikan kepada mangsa.
“Suspek telah memperkenalkan diri
kepada mangsa bahawa dia merupakan pekerja dari Pejabat Daerah untuk membantu
golongan warga emas dan ingin memberi bantuan kebajikan kepada mangsa.
“Seterusnya, mangsa dipelawa untuk
pulang ke rumahnya (mangsa) di Kampung Petanak menggunakan kenderaan jenis
Toyota Hilux berwarna putih, sementara dua lelaki sedang menunggu di dalam
kenderaan tersebut,” ujarnya pada sidang media di IPD Mukah, semalam.
Omar berkata, modus operandi suspek
ialah menipu kononnya memberi bantuan kebajikan dengan harapan warga emas
tersebut mempercayai kata-katanya.
“Selepas membawa mangsa ke rumah
mangsa di Kampung Petanak, suspek terus membawa warga emas itu ke sebuah
pondok usang berdekatan dengan Anggun Beach Resort untuk sesi bergambar.
“Ketika keluar dari kereta suspek
untuk bergambar, kesemua barangan dan beg galas mangsa ditinggalkan di dalam
kereta suspek.
“Kemudian, tiba-tiba suspek
memberitahu telefon bimbitnya kehabisan bateri lalu berpatah balik ke kereta.
Pada saat itulah mereka lari meninggalkan warga emas tersebut di situ,”
jelasnya sambil menambah, mangsa terus membuat laporan polis pada hari
kejadian.
Omar turut menyifatkan kejadian itu
sama seperti yang berlaku pada bulan September tahun lepas di mana seorang
warga emas dipukau untuk mengambil barang berharga.
“Bagaimanapun, kejadian seumpama ini
jarang berlaku namun sudah timbul semula,” katanya.
Justeru, beliau menasihati
masyarakat di sekitar Mukah khasnya supaya berhati-hati dan tidak mudah
terpengaruh dengan orang yang tidak dikenali sekiranya mereka bertindak
mencurigakan.
Beliau juga memohon masyarakat agar
memberi kerjasama kepada pihak polis dengan memberi maklumat mengenai kes
seperti itu.
sumber borneo post
0 comments:
Post a Comment
Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.