Lazada Malaysia

Mayat Mangsa Nahas MH17 Diurus Teliti, Sopan

gambar kredit ke sinar harian
KUALA LUMPUR - Penterjemah Pasukan Penyiasat Khas Pesawat MH17 ke Ukraine, Dr Muhammad Akmal Salleh berkata proses pengurusan mayat mangsa nahas pesawat itu dijalankan dalam keadaan yang sangat teliti dan sopan walaupun 90 peratus daripada ratusan mayat itu sudah berubah dari segi sifat dan fizikalnya.

Beliau berkata tugas pasukan itu sangat mencabar kerana terdapat mayat yang masih dalam keadaan sempurna dan ada juga sudah berkecai dan rentung akibat tragedi itu.

"Kami mengasingkan mayat-mayat itu, diletakkan dalam keranda yang berbeza dan melabelkannya secara berhati-hati supaya bukti nahas tidak dihilangkan," katanya ketika menjadi tetamu khas program 'Dalam Radar' terbitan Bernama Radio24 di sini, hari ini.

Dr Muhamad Akmal antara 133 anggota pasukan penyiasat khas Malaysia yang tiba di Ukraine pada 18 Julai lepas susulan nahas Penerbangan MH17 di Donetsk, timur Ukraine sehari sebelumnya.

Pasukan itu berlepas pulang ke ibu negara pada 1 Ogos, selepas tugas mengeluarkan mayat mangsa dan mengambil semula kotak hitam pesawat selesai.

Berkongsi pengalaman menyertai pasukan penyiasat khas di Ukraine dan Belanda selama dua minggu, beliau mengakui terpaksa menahan rasa sebak ketika membantu pasukan penyiasat menguruskan mayat MH17 yang terhempas pada 17 Julai lalu.

"Walaupun saya bersama anggota pasukan penyiasat berasa amat perit ketika itu, kami teruskan juga usaha mengeluarkan mayat-mayat itu dari tren khas yang terletak kira-kira 200km dari kawasan nahas," katanya.

Katanya beliau terpaksa membantu dalam proses pengumpulan dan pelabelan mayat meskipun ia adalah di luar bidang tugasnya.

"Saya merupakan doktor pediatrik yang bertugas merawat pesakit di hospital dan pengalaman ini satu cabaran bagi saya...Walaupun ini bukan dalam bidang saya namun saya diberi peluang untuk membantu mereka dalam urusan pemindahan, pelabelan dan pengumpulan mayat mangsa di kawasan tren itu.

"Namun, saya berasa bangga kerana diberi peluang menyertai pasukan penyiasat...serta memberi khidmat penterjemahan. Sekurang-kurangnya dapat berkhidmat kepada negara," kata doktor lulusan Russian State Medical University di Moscow yang fasih berbahasa Rusia.

Penerbangan MH17 milik Malaysia Airlines itu yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu dipercayai ditembak jatuh, namun sehingga kini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab. - Bernama


Blog, Updated at: Tuesday, August 12, 2014

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

Lazada Malaysia

NUFFNANG