SIBU: Hasrat seorang janda beranak satu mencari suami kedua yang baik terpaksa dilupakan selepas menjadi hamba lelaki panas baran di sebuah kem pembalakan di Miri selama sebulan.
Menurut pengadu yang berusia 30 tahun, dia sudah tidak mampu menahan seksa hidup sebumbung bersama lelaki yang baharu dikenalinya lebih sebulan lalu kerana sering menjadi tempat untuk melepas perasaan marah lelaki berkenaan.
“Saya telah diajak lelaki itu tinggal dengannya di sebuah kem pembalakan di Suai, Miri sejak awal bulan lalu dengan hasrat untuk berkongsi hidup yang lebih baik,” kata pengadu di sini semalam.
Namun, hasrat untuk hidup bahagia bersama lelaki itu pudar apabila suspek sering memukul, menampar dan menyepaknya seperti binatang, bukan melayannya seperti seorang isteri.
Akibat tidak sanggup lagi menanggung seksa, mangsa mengambil keputusan untuk melarikan diri daripada lelaki tersebut.
Pada 30 Ogos lalu, pengadu yang berasal dari Baram itu nekad untuk melarikan diri ke Sibu dan mencari tempat perlindungan sementara dengan tinggal bersama saudaranya di sebuah rumah sewa di bandar ini.
Nasib tidak menyebelahinya, apabila pengadu berjaya dijejaki lelaki dayus tersebut semasa membeli kupon tambah nilai di sebuah kedai menjual telefon bimbit di Jalan Tan Sri di sini pagi semalam.
“Saya terus ditampar apabila menoleh ke belakang selepas bahu saya ditepuk dari belakang,” katanya sambil menunjukkan kesan lebam di pipinya.
Lelaki tersebut kemudiannya beredar dari situ selepas bertindak sedemikian.
Wanita itu berkata dia pernah diseksa seperti haiwan apabila lelaki itu memegang kakinya sambil mengheretnya di hadapan pekerja lain semasa berada di kem sebelum ini.
Bimbang keselamatannya terancam, pengadu pergi ke Balai Polis Sentral Sibu untuk membuat laporan polis. -Utusan Borneo
0 comments:
Post a Comment
Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.