Lazada Malaysia

Lelaki paling pendek dunia enggan berkahwin

SURUNGA, Nepal - Seorang warga emas yang didakwa lelaki terpendek di dunia, Chandra Bahadur Dangi menyatakan, dia berharap kehidupannya menjadi lebih baik selepas mendapat pengesahan Guinness World Records.
Dangi mendakwa dia memiliki ketinggian cuma 56 sentimeter (sm) dengan berat badan hanya 12 kilogram.
Pada minggu ini, sepasukan pegawai Guinness World Records dijangka tiba di kampung halaman Dangi di Purandhara, selatan Nepal bagi mengukur ketinggian lelaki berusia 72 tahun itu.
Dalam wawancara pertama bersama agensi berita AFP, Dangi berkata, pengesahan Guinness World Records amat bermakna buat dirinya selepas dia hidup susah selama bertahun-tahun.
"Saya percaya hidup saya akan menjadi lebih baik. Saya berharap saya akan menjadi terkenal di seluruh dunia," kata Dangi ketika ditemui pada satu acara keagamaan di Surunga, bandar yang terletak di tebing sungai Kankai, 280 kilometer ke tenggara ibu kota Nepal, Kathmandu.
"Saya mahu melawat negara-negara luar dan bertemu orang ramai di seluruh dunia."
Dangi yang memiliki lima adik-beradik yang mempunyai ketinggian normal kini menjalani kehidupan sebagai pesara.
Menurutnya, dia belum pernah bercinta dan masih belum berumah tangga.
"Saya pendek sejak zaman kanak-kanak. Justeru, saya tidak dapat mencari seorang wanita untuk berkahwin semasa saya muda. Kemudian saya meninggalkan terus idea mengenai perkahwinan.
"Pada peringkat umur ini, saya tidak berminat untuk berkahwin lagi," katanya.
Punca dia tidak membesar masih lagi menjadi misteri walaupun ramai pemegang gelaran lelaki terpendek dunia sebelum ini disahkan menghidap sindrom pembesaran terbantut yang mempunyai tanda-tanda sejak dalam rahim ibu lagi.
Dangi menyatakan, beberapa saudaranya akan mengaraknya pada festival semasa dia masih muda.
Menurutnya, dia tidak berkongsi sebarang bayaran yang diperoleh daripada saudaranya itu.
"Mereka melayan saya sebagai alat permainan," katanya kepada akhbar Republica.
Sehingga kini, rekod lelaki terpendek di dunia dipegang oleh warga Filipina, Junrey Balawing dengan ketinggian 59.93 sm.
Namun, jika dakwaan Dangi disahkan, dia bukan sahaja merampas gelaran Balawing tetapi turut diisytihar sebagai lelaki terpendek di dunia yang pernah direkodkan.
Seorang lagi rakyat Nepal, Khagendra Thapa Magar memegang rekod sebagai lelaki paling pendek di dunia selama setahun ketinggiannya dengan 67sm pada 2010.
Magar muncul di televisyen di Eropah dan di Amerika Syarikat selain menjadi duta pelancongan Nepal.
- Agensi

sumber kosmo


Blog, Updated at: Friday, February 10, 2012

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

NUFFNANG