Lazada Malaysia

Acute Gastroenteritis (AGE) | Wabak serang 2,236 bayi

TAPAH: Punca kematian mengejut dua bayi awal minggu lalu, dipercayai akibat sejenis wabak dikenali sebagai Acute Gastroenteritis (AGE) yang dibawa virus rotavirus yang kini sudah menyerang 2,236 bayi di Perak.

Difahamkan wabak dibawa virus itu tersebar melalui air dan makanan dan hanya menjangkiti bayi di Teluk Intan, Hutan Melintang, Chenderong Balai, Langkap di Hilir Perak dan Batang Padang, Tapah, di sini.


Berdasarkan aduan diterima, rotavirus lebih mudah menyerang bayi berusia antara dua bulan hingga 10 bulan menyebabkan mangsa cirit-birit dan demam panas sebagai tanda awal.

Exco Kesihatan Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata penemuan punca wabak AGE itu diperolehi hasil ujian makmal sejurus dua bayi mati mengejut awal minggu lalu.


Katanya, virus berbahaya itu menyebabkan bayi menghidapnya hilang selera makan, sakit kepala, sakit perut, loya dan pelbagai tanda lain.


Dalam kejadian 30 Januari lalu, dua bayi, Tamil Selvan, sembilan bulan dan Varagaran Murugan, dua bulan, mati mendadak selepas diserang demam dan cirit-birit berulang.

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Taman Julaiha dan Kampung Teluk Buluh, Hutan Melintang, di sini, mempunyai simptom sama iaitu cirit-birit, demam panas, mata bengkak dan badan bertukar kehijauan.


Menurut Dr Mah, sejak 27 Januari lalu sehingga semalam, 2,236 kes AGE dengan gejala cirit-birit dan muntah dikesan di dua daerah iaitu 1,397 kes di Hilir Perak dan 839 kes di Batang Padang.

“Bagaimanapun jumlah kes menunjukkan penurunan sejak seminggu lalu di hospital daerah itu. Kebanyakan kes AGE yang dikesan menunjukkan gejala cirit-birit dan muntah dan sebahagian besar bayi dijangkiti mendapat rawatan pesakit luar,” katanya pada sidang akhbar di Klinik Kesihatan Tapah, semalam.


Menurutnya, kajian sedang dijalankan Jabatan Kesihatan negeri Perak dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perubatan dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan untuk mengenal pasti punca merebaknya wabak itu.


“Antara langkah berkesan bagi mengelak wabak itu merebak ialah memasak air sebelum diminum, membasuh tangan menggunakan sabun sebelum dan selepas makan serta ke tandas. “Mengurangkan memakan makanan mentah seperti ulam atau tidak dimasak, memasak makanan dengan sempurna, membersihkan peralatan pemakanan dan minuman bayi dengan merebus terlebih dahulu sebelum digunakan,” katanya.


Mah berkata, orang ramai yang mengalami demam, cirit-birit, muntah, loya, sakit perut, sakit kepala serta hilang selera makan perlu segera mendapatkan rawatan.


Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan lebih 440,000 kematian kanak-kanak dan bayi di seluruh dunia disebabkan rotavirus.

sumber Mymetro


Blog, Updated at: Saturday, February 11, 2012

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

Lazada Malaysia

NUFFNANG