Lazada Malaysia

Siasatan: Kes Tembak Di Pandan, Polis Siasat Semua Sudut

LUNDU: Polis akan menyiasat dari pelbagai sudut dengan tidak menolak sebarang kemungkinan berhubung kes tembakan yang menyebabkan seorang wanita tercedera di Pantai Ocean Resort, Pandan di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lundu, DSP Wong Chee Keong memberitahu pihaknya kini masih menjalankan siasatan di bawah Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kecederaan.

Menurutnya, hasil siasatan awal, pihaknya mengesyaki senjata api yang digunakan dalam insiden tersebut adalah senapang patah berdasarkan peluru yang ditemui pada badan mangsa.

“Mangsa terkena satu serpihan peluru di bahagian rusuk dan dua di bahagian lengan namun dilaporkan stabil dan telah dibenarkan pulang pada hari berikutnya (10 Jun).

“Siasatan awal mendapati senjata api yang digunakan dipercayai senapang patah berdasarkan serpihan peluru yang ditemui pada badan mangsa dan kini kita sedang berusaha mencari maklumat serta mengesan suspek,” katanya.
gambar hiasan
Pada 9 Jun lepas, seorang wanita berusia 20 tahun bersama teman lelaki dan keluarganya yang berasal dari Beratok, Jalan Kuching-Serian telah berkunjung ke pantai berkenaan iaitu sekitar jam 9 malam.

Mereka bagaimanapun telah dikejutkan dengan satu bunyi tembakan dari jarak sekitar 150 meter sebelum teman lelaki mangsa sempat melihat kelibat seseorang melarikan diri dari tempat kejadian dengan menunggang sebuah motosikal.

“Pada masa sama, ibu kepada teman lelaki mangsa menjerit memberitahu mangsa telah terkena tembakan pada bahagian rusuknya menyebabkan mereka terus bergegas ke Hospital Lundu untuk mendapatkan rawatan,” kata sumber.

Satu laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh teman lelaki mangsa di balai polis berhampiran selepas itu. -utusan borneo


Blog, Updated at: Thursday, June 12, 2014

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

NUFFNANG