photo credit to Utusan Online |
PULAU GIGLIO, Itali 15 Jan. - Satu pasangan berbulan madu dari Korea Selatan diselamatkan hari ini dari sebuah kapal persiaran Costa Concordia yang melanggar batu dan terbalik di perairan dekat pantai barat Itali, tetapi tiga orang disahkan maut dan sekurang-kurangnya 50 lagi masih hilang.
Pasukan penyelamat juga sedang bertungkus-lumus untuk menyelamatkan seorang lagi mangsa yang dikesan terperangkap di dalam kapal Costa Concordia.
Dua penumpang Perancis dan seorang krew rakyat Peru disahkan terbunuh, dipercayai setelah terjun ke perairan Mediterranean yang sejuk selepas kapal yang membawa lebih 4,000 orang itu melanggar batu pada malam semalam dan mula terbalik.
"Operasi ini berisiko tinggi, kapal itu berada di perairan sedalam hanya 30 meter tetapi boleh perlahan-lahan hanyut ke laut dan tenggelam sama sekali," kata jurucakap pengawal pantai Itali, Cosimo Nicastro di tempat kejadian.
Katanya, kira-kira 50 atau 60 orang masih hilang di perairan dekat pulau Giglio di wilayah Tuscany dan operasi mencari diteruskan.
Sebelum itu, Gabenor wilayah Grosseto yang berdekatan, Giuseppe Linardi dan pegawai pelabuhan berkata, 41 orang masih hilang.
Menurut Nicastro, sesetengah mangsa yang selamat mungkin tidak diambil kira tetapi penumpang lain mungkin terperangkap di dalam kabin atau di ruang lain di bawah geladak.
Pasangan Korea Selatan itu, kedua-dua berusia 29 tahun, diselamatkan oleh anggota bomba dari geladak bawah kapal di mana mereka terperangkap, lapor agensi berita Itali, ANSA.
Kurang 24 jam selepas kemalangan itu, kapten kapal, Francesco Schettino dan pegawai pertama, Ciro Ambrosio ditangkap dan mereka dilaporkan dijangka menghadapi berbilang tuduhan membunuh, menyebabkan nahas kapal dan meninggalkan kapal sebelum semua penumpang diselamatkan.
Penyiasat mula menganalisis 'kotak hitam' yang ditemui oleh pasukan penyelamat untuk meneliti pergerakan kapal sepanjang 291 meter itu serta perbualan antara kakitangannya.
Schettino memberitahu stesen televisyen Itali, TGCOM, kapalnya melanggar batu yang tidak tercatat dalam carta dan dia telah cuba menyelamatkan seberapa ramai orang yang boleh.
Bagaimanapun penduduk Giglio berkata, kapal tersebut belayar terlalu hampir dengan pulau itu dan melanggar terumbu batu di bawah permukaan air yang memang diketahui oleh penduduk tempatan. - AFP
Sumber Utusan Online
ish3,kesian
ReplyDelete