Lazada Malaysia

Penantian Selama 15 Tahun Berakhir

KUCHING 16 Jan. – Tiada apa yang lebih menggembirakan bagi seorang suri rumah, Nolia Abd. Karim apabila penantian keluarganya untuk menduduki rumah sendiri di Taman Desa Guru di sini yang terbengkalai sejak 15 tahun lalu berakhir semalam.
Nolia, 62, tidak dapat menahan rasa sebak apabila menerima kunci rumah berkenaan daripada Menteri Perumahan negeri, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg tanpa suaminya yang telah meninggal dunia.
Katanya, rumah setingkat yang dibeli oleh arwah suaminya, Zabidi Bujang sekitar 1994 itu sepatutnya siap dua atau tiga tahun selepas itu.
“Malangnya pada 1997 kami mendapat berita ia terbengkalai dan sejak itu, arwah suami bersama rakan-rakan pembeli lain terpaksa mencari pelbagai ikhtiar untuk memperjuangkan hak kami sebelum nasib kami mendapat pembelaan kerajaan negeri.
“Namun, saya terkilan kerana arwah tidak dapat melihat rumah yang dibeli dengan titik peluhnya sendiri,” katanya.
Sementara itu seorang guru, Zailaha Johny, 42, berkata, penantian mereka berakhir atas berkat kesabaran dan usaha berterusan kumpulan pembeli rumah itu yang disokong oleh Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) sehingga mendapat perhatian Menteri Perumahan negeri.
“Alhamdulillah, hari ini tercapai juga impian saya dan suami untuk mendiami rumah sendiri,” katanya.
Arwah suami Nolia dan Zailaha merupakan antara 43 pembeli rumah di Taman Desa Guru yang terpaksa berputih mata berikutan pemaju, Koperasi Perumahan Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Bumiputra Sarawak Berhad gagal menyiapkan projek pembinaan rumah mereka sejak 1997.
Projek perumahan yang dibina atas tanah seluas 5.6 hektar itu melibatkan lapan rumah banglo setingkat jenis Baiduri, 24 banglo berkembar setingkat (Mutiara), 10 banglo setingkat (Nilam) dan 11 banglo setingkat (Delima) dengan harga bermula RM100,000 hingga RM184,000 seunit.
Hasil campur tangan kerajaan negeri, projek itu diserahkan kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pada 2009 untuk dipulihkan dengan kos lebih RM16 juta dan memperoleh Permit Menduduki daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) pada akhir tahun lalu.

Sumber UtusanOnline


Blog, Updated at: Tuesday, January 17, 2012

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

Lazada Malaysia

NUFFNANG