KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada Rabu ini menarik minat National Geographic Channel (NatGeo) untuk merakamkannya dalam bentuk filem dokumentari dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk siaran ke seluruh dunia.
Pengarah Produksi Finas, Subaidah Md. Top berkata ini kali kedua NatGeo membuat liputan seumpama itu. Kali pertama, istiadat pertabalan Yang di Pertuan Agong ke 13, Sultan Mizan Zainal Abidin dari Terengganu pada 2007.
Dalam liputan kali ini, NatGeo akan menumpukan kepada keunikan dan keistimewaan pelantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk kedua kalinya.
Subaidah berkata, belum pernah dalam sejarah negara, Sultan atau Raja yang sama dilantik semula sebagai Ketua Negara sejak sistem giliran memegang jawatan itu di kalangan sembilan Sultan dan Raja dipraktikkan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.
Tuanku Abdul Halim, pertama kali dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong (yang kelima) pada 1970 semasa berumur 42 tahun, dan kini dilantik semula sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 14 pada usia 84.
"Dokumentari tersebut bakal menyingkap dengan lebih dekat mengenai kisah hidup Tuanku Abdul Halim itu sendiri," tambahnya.
Pihak produksi akan juga merakamkan aktiviti Tuanku selepas istiadat pertabalan, serta menemubual anggota kerabat serta kenalan rapat Seri Paduka.
"Seperti yang kita sedia maklum semasa Tuanku menjadi Yang di-Pertuan Agong kelima, Perdana Menteri pada ketika itu ialah Tun Abdul Razak dan pada pertabalan kali ini pula anaknya Datuk Seri Najib Tun Razak pula yang memegang jawatan sebagai Ketua Eksekutif negara.
"Keunikan ini akan turut dipaparkan dalam filem dokumentari itu," katanya.
Subaidah berkata, semasa Tuanku menjadi Yang di-Pertuan Agong kelima, negara baru saja melalui Tragedi 13 Mei 1969, dan berikutan itu negara diletakkan di bawah pentadbiran Majlis Gerakan Negara (Mageran).
Mageran melahirkan beberapa dasar penting Malaysia, Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum serta menyusun semula masyarakat.
"Seri Paduka kini bakal memimpin negara dalam satu era yang sangat penting di mana kerajaan sedang berusaha keras bagi mencapai status negara maju menjelang 2020. Itu yang kita mahu kongsikan dengan dunia," katanya.
Subaidah berkata penggambaran dokumentari ini telah bermula seawal Disember lepas lagi, semasa Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh Tuanku.
"Namun selepas istiadat pertabalan pada Rabu depan, sesi penggambaran akan lebih agresif berikutan pelbagai acara telah disusun yang perlu dihadiri baginda dalam tempoh 10 hari dan dijangkakan tempoh penggambaran akan mengambil masa sekitar tujuh ke lapan bulan," katanya.
Beliau berkata dokumentari ini juga akan menampilkan kepada dunia Istana Negara yang baru.
Subaidah berkata Finas bertanggungjawab untuk memantau keseluruhan pergerakan produksi sehingga penerbitan dokumentari siap sepenuhnya.
Mengenai bajet, beliau berkata peruntukan bagi penghasilan dokumentari kali ini ialah sekitar RM700,000, sama seperti ketika Finas dan NatGeo menerbitkan dokumentari pertama berjudul 'Becoming A King' mengenai pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan.
Dokumentari 2007 itu yang disiarkan pada 29 Ogos tahun berkenaan, berjaya menarik penonton di kira-kira 250 juta kediaman di lebih 160 negara.- BERNAMA
MENARIK: PERHATIKAN APA YANG PELIK
4 years ago
0 comments:
Post a Comment
Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.