SARIKEI: Selekoh tajam di Jalan Sungai Paoh meragut nyawa lagi apabila seorang maut dan tiga cedera dalam pertembungan di antara kereta Perodua Myvi dan Toyota Hilux, petang kelmarin.
Mangsa yang dikenali sebagai Storie Limbing, 69, berasal dari Saratok meninggal dunia pada kira-kira jam 9 malam kelmarin di Hospital Sarikei.
Semasa kejadian, mangsa bersama dua anaknya dipercayai sedang dalam perjalanan pulang dari Sibu ke Saratok.
Kemalangan dalam hujan itu berlaku apabila Hilux terbabit dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta mangsa berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Paoh, kira-kira 16 kilometer dari sini.
Anak mangsa yang memandu Myvi terbabit patah tangan dan cedera tulang rusuk masih dirawat di Hospital Sarikei, manakala seorang lagi cedera ringan.
Hanya seorang penumpang Hilux terbabit cedera.
Ia membawa lima penumpang dewasa dan seorang budak lelaki.
Sehubungan itu, Ketua Balai Bomba Sarikei Suna Kaha memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.13 petang dan tiba di tempat kejadian kirakira 15 minit kemudian.
“Bomba mengerahkan sebuah jentera dengan lapan anggota. Bagaimanapun sebaik tiba di tempat kejadian, kesemua mangsa sudah dikeluarkan dari kenderaan masing-masing oleh orang ramai,” jelasnya.
Beliau berkata, mangsa dikejarkan ke hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Punca kejadian masih disiasat,” jelasnya.
Menurut penduduk, kemalangan sering berlaku di kawasan itu berikutan selekoh tajam dan keadaan jalan yang sempit. -Utusan Borneo
0 comments:
Post a Comment
Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.