KUCHING: Seperti diduga, seorang penjual ikan yang juga suspek utama kes bunuh dua pelajar perubatan warga Britain dua minggu lalu menghadapi dua pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pertuduhan dibacakan kepada Zulkipli Abdullah, 23, dari Kampung Gersik di hadapan Majistret Portia Tham Ong Leng semalam yang menetapkan sebutan semula kes pada 19 September sementara menunggu laporan pakar kimia.
Seksyen 302 membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Perintah tahanan reman ke atasnya turut dilanjutkan kerana pertuduhan ke atasnya tidak boleh diikat jamin.
Tiada pengakuan dicatatkan daripada tertuduh yang memakai seragam oren lokap dan menganggukkan kepala sebagai tanda memahami pertuduhan.
Zulkipli adalah antara lima suspek yang telah ditahan reman berhubung kes pembunuhan itu.
Namun, empat suspek lain dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah RM20,000 seorang di bawah Seksyen 118 Kanun Acara Jenayah.
Mereka yang berusia antara 19 dan 55 tahun itu bagaimanapun akan dipanggil menjadi saksi perbicaraan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Zulkipli semalam turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen kerana menghadapi kes di mana dia dikeluarkan waran tangkap di bawah Seksyen 412 Kanun Keseksaan berikutan menerima harta yang dicuri dalam satu rompakan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mirza Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Zulkipli didakwa membunuh Aidan Brunger, 22, dan Neil Dalton, 23, antara jam 4.10 pagi dan 4.15 pagi pada 6 Ogos lepas di Jalan Abell di sini. -Utusan Borneo
0 comments:
Post a Comment
Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.