Lazada Malaysia

Datuk Seri Najib dan Pehin Sri Abdul Taib tahu masa yang sesuai peralihan kuasa di Sarawak

SERIAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud tahu masa yang sesuai untuk peralihan kuasa di negeri ini.
Menurut Najib sesuatu peralihan kuasa perlu dijalankan dengan teliti dan teratur kerana hanya peralihan yang lancar dapat menjamin kesinambungan pembangunan yang telah dilaksanakan.
Beliau berkata, bayangan Taib untuk meninggalkan pentas sebagai pemimpin nombor satu negeri ini kerana beliau (Taib) mengutamakan berlakunya peralihan kuasa kepimpinan secara tersusun dan teratur baik di peringkat negeri ataupun pusat.

“Kami (Najib dan Taib) tahu bila masa yang sesuai untuk membuat peralihan kuasa di negeri ini kerana kami mempunyai persefahaman dalam perkara itu… kita tahu semua itu.
“Saya memberi jaminan kepada anda, Pehin Sri (Taib) bersedia apabila tiba masanya beliau benar-benar ingin meninggalkan pentas sebagai Ketua Menteri, jadi jangan bangkitkan perkara ini kerana yang penting peralihan itu berjalan dengan lancar,” katanya berucap merasmikan Program Sejiwa Senada Peringkat Bahagian Samarahan di sini, semalam.
Najib dalam pada itu memberi contoh semasa beliau mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, ia merupakan proses peralihan yang dilakukan dengan baik.
Jelasnya, Taib yang meru-pakan pemimpin berpengalaman malahan sejak zaman bapanya (Tun Razak) sudah pasti akan menetapkan kepimpinan yang kukuh dan stabil yang dapat diterima oleh semua pihak sebelum berundur.
“Jangan desak pada sesuatu tetapi ikut tradisi yang baik dalam negara kita kerana yang penting ialah peralihan kuasa yang tertib dan tersusun.
“Ia supaya kepimpinan baru yang ambil alih nanti mampu membawa Sarawak pada keadaan yang lebih baik dan beliau (Taib) akan menjadi penyo-kong kepada kerajaan Barisan Nasional (BN),” tegasnya.
Terdahulu Taib dalam ucapannya membayangkan beliau akan berundur dalam masa terdekat bagi memberi peluang kepada muka baru untuk mengambil alih peralihan kuasa di negeri ini.
Katanya peralihan kuasa itu harus dijalankan dengan teratur bagi memastikan dasar dan pembangunan kerajaan dapat diteruskan.
Bagaimanapun Taib yang enggan mendedahkan jangka masa  untuk peralihan kuasa hanya berkata ia berlaku apabila tiba masanya.
“Saya tahu saya sendiri telah lama berkhidmat dalam negeri ini tetapi saya juga tahu pada suatu ketika saya terpaksa pergi, namun apa yang pasti saya tidak mahu impian saya lenyap bersama saya,” tegasnya.
Justeru kata beliau Sarawak harus ada kerajaan yang mempunyai kepandaian, pengalaman dan sentiasa menukar kepimpinan supaya pemimpin baru dapat mentadbir negeri ini.
“Sebab itu kemungkinan saya akan bersara adalah sudah dekat… saya akan terus mengetuai pilihan raya ini tetapi hanya untuk memastikan ia berjalan dengan lancar.
“Saya memimpin pilihan raya ini bagi memastikan muka-muka baru dapat diketengahkan tetapi mereka yang mengambil alih mestilah mereka yang benar-benar terlatih,” katanya.
Beliau berharap mereka yang telah dididik selama ini mampu membentuk satu pasukan yang dapat memberi khidmat kepada negeri untuk memberi jaminan supaya tidak seorang pun rakyat di Sarawak rasa ketinggalan.
Pasukan itu katanya,  harus disertai dan diwakili oleh pelbagai kaum termasuk Iban, Cina, Bidayuh, Orang Ulu dan kaum lain.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dua Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan serta Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tebedu Dato Sri Michael Manyin serta menteri-menteri persekutuan dan menteri-menteri kabinet negeri.


Blog, Updated at: Sunday, March 20, 2011

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

Lazada Malaysia

NUFFNANG