Lazada Malaysia

DAP Mahu Pakatan Pembangkang Tutup Mulut Mengenai Rundingan Pengagihan Kerusi

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- DAP Rabu meminta pemimpin dan anggota pakatan PKR-DAP-PAS tidak membuat sebarang kenyataan terbuka tentang rundingan mereka berkaitan peruntukan kerusi bagi pilihan raya umum akan datang.

Naib pengerusi dan pengerusi biro pilihan raya DAP Tan Kok Wai berkata para pemimpin dan anggota pakatan pembangkang perlu mematuhi resolusi bersama yang dicapai pada pemukiman kepimpinan pakatan pembangkang pada 19 Julai 2011 agar rundingan mengenai pengagihan kerusi dibuat secara dalaman dan mengelak daripada membincangkannya atau mengkritik anggota gabungan lain secara terbuka.

"Anggota DAP diingatkan bahawa sebarang perselisihan pendapat yang tidak dapat diselesaikan di peringkat kepimpinan negeri, dirujuk kepada kepimpinan pakatan pembangkang peringkat kebangsaan untuk diselesaikan.

"Sehubungan itu, para pemimpin dan anggota DAP dinasihati supaya mengelak daripada membuat sebarang kenyataan terbuka yang boleh dilihat seolah-olah anggota pakatan -- PAS, PKR and DAP -- berbalah mengenai pengagihan kerusi," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata semua anggota pakatan itu perlu menjunjung dan memupuk semangat perpaduan, kerjasama dan saling mempercayai yang menjadi asas pakatan mereka.

"Pada peringkat ini, rundingan mengenai peruntukan kerusi di pelbagai negeri masih berjalan dan belum dimuktamadkan. Bagaimanapun, kemajuan positif telah dicapai untuk memuktamadkan peruntukan kerusi dalam kalangan anggota pakatan pembangkang bagi pilihan raya umum akan datang," katanya.

Tan berkata kepimpinan pakatan akan membuat pengumuman pada waktu yang sesuai sebaik saja proses rundingan mengenai pembahagian kerusi dimuktamadkan.

Rundingan pembangkang mengenai pengagihan kerusi tidak mengalami kebuntuan di sekurang-kurangnya lima negeri walaupun pemimpin mereka di peringkat negeri bertungkus-lumus cuba menyelesaikan perbezaan pendapat dan ini menyebabkan tercetus berita sejak beberapa hari lepas bahawa wujud perbalahan dalam kalangan mereka.

Pakatan PKR-DAP-PAS masih belum dapat memuktamadkan rundingan mengenai pembahagian kerusi untuk mereka tandingi di Johor, Pahang, Sarawak, Perak dan Kedah hingga menyebabkan para pemimpinnya meminta diberi lebih banyak masa untuk menyelesaikan perbezaan pendapat, kebanyakannya berhubung tuntutan bertindih.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, pakatan pembangkang itu memenangi 82 kerusi Parlimen, dengan PKR muncul sebagai parti pembangkang terbesar setelah menguasai 31 kerusi. DAP mempunyai 28 kerusi dan PAS, 23.

Di peringkat negeri, pakatan itu menguasai Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah serta terus memerintah Kelantan.

Bagaimanapun, selepas Pilihan Raya Umum 2008, tujuh Anggota Parlimen PKR meninggalkan parti itu untuk menjadi wakil bebas, manakala Barisan Nasional (BN) mengambil alih Perak selepas tiga Anggota Dewan Negeri (dua daripada PKR dan seorang daripada DAP) meninggalkan parti masing-masing untuk menjadi wakil rakyat bebas yang mesra BN.

Pada pilihan raya negeri Sarawak April tahun ini, PKR dan DAP bertanding menentang satu sama lain di beberapa kerusi utama hingga menimbulkan perbalahan antara pemimpin mereka.

-- BERNAMA


Blog, Updated at: Thursday, September 15, 2011

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

Lazada Malaysia

NUFFNANG