Lazada Malaysia

Lesen Memandu | Sistem Baru Perbaharui Mengikut Tarikh Lahir

PUTRAJAYA, 15 Nov (Bernama) -- Mulai Isnin depan, orang ramai boleh mula memperbaharui lesen memandu mereka mengikut tarikh lahir, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata melalui inisiatif itu, tarikh tamat tempoh lesen memandu adalah sama dengan tarikh lahir seseorang pemegang lesen.

"Inisiatif itu juga dibuat bagi memudahkan orang ramai mengingati tarikh memperbaharui lesen memandu selain mengurangkan kes pemegang lesen tidak aktif," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Kong berkata diharapkan selepas ini, tidak timbul lagi isu lupa untuk memperbaharui lesen memandu terutamanya apabila pemandu terbabit dalam kemalangan.

Berdasarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan, terdapat 2.2 juta daripada 11.8 juta pemegang lesen tidak aktif atau tidak memperbaharui lesen memandu mereka.

Beliau berkata kerajaan akan menanggung fi lesen tempoh lanjutan bagi pemegang lesen yang tempoh pembaharuannya di antara tarikh tamat sah lesen hingga tarikh lahir adalah di antara 12 hingga 18 bulan (termasuk tempoh lanjutan).

Bagi pemegang lesen yang tempoh pembaharuannya di antara tarikh tamat sah lesen hingga tarikh lahir adalah di antara 19 hingga 24 bulan (termasuk tempoh lanjutan), mereka perlu membayar untuk lanjutan tempoh melebihi enam bulan tetapi kurang daripada 12 bulan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata semua dokumentasi mengenai Sistem Penguatkuasaan Automasi (AES) akan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Katanya pemasangan sistem dijangka dimulakan secara berperingkat pertengahan tahun depan.

"Lebih 800 lokasi risiko kemalangan sudah dikenal pasti untuk dipasang dengan sistem itu bagi mengesan sebarang kesalahan lalu lintas yang dilakukan pengguna," katanya.

AES, yang banyak digunakan di negara maju, pada asasnya adalah satu sistem di mana kamera dipasang di kawasan sering berlaku kemalangan bagi mengesan pemanduan laju, dan di persimpangan lampu isyarat bagi mengesan mereka yang melanggar lampu merah.

-- BERNAMA

Sumber BERNAMA


Blog, Updated at: Wednesday, November 16, 2011

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

NUFFNANG