KUANTAN, 24 Dis (Bernama) -- Isu pemain import yang gagal melepasi syarat beraksi pada Liga Malaysia 2012 (Liga-M) harus menjadi pengajaran kepada setiap pasukan negeri dan kelab agar lebih serius dalam mengikut garis panduan yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata ia penting dalam memastikan bola sepak negara benar-benar mencapai tahap profesional.
"Saya harap ini menjadi satu pengajaran...kita ini dah masuk profesional, kita kena tahu jadual bila nak ambil pemain import untuk tentukan benar-benar dapat kelulusan FAM," katanya kepada pemberita hari ini selepas melawat 20 mangsa kebakaran melibatkan lima rumah di Kampung Batu 5 di sini, Jumaat.
Tengku Abdullah berkata demikian ketika ditanya berhubung beberapa persatuan negeri dan kelab yang mahu membuat rayuan selepas sembilan pemain import gagal melepasi syarat beraksi pada Liga-M.
Katanya FAM tidak akan mendengar rayuan tersebut dan pihak persatuan negeri dan kelab perlu menunggu pendaftaran pemain import pada tarikh berikutnya.
Bagaimanapun, Tengku Abdullah berkata pihaknya akan mengkaji untuk mempercepatkan tarikh pendaftaran kedua yang ditetapkan pada April depan ke satu tempoh yang terdekat.
Sementara itu, Tengku Abdullah meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang andaian dan spekulasi mengenai nasib penyerang negara, Safee Sali berikutan laporan berhubung Liga Super Indonesia (ISL) diharamkan badan bola sepak dunia FIFA.
"Kita jangan cepat beranggapan, kita masih menunggu cerita sebenar, kita juga nak dapat pengesahan daripada FIFA tetapi musim perayaan (Krismas) pejabat (FIFA) tutup," katanya.
Dalam perkembangan lain, Tengku Abdullah yang juga Presiden Persatuan Hoki Malaysia berkata, Liga Hoki Remaja Kebangsaan yang akan bermula pada 9 Jan depan perlu diteruskan walaupun berhadapan dengan masalah stadium yang tidak berada pada tahap terbaik.
Beliau mengakui terdapat stadium yang berada dalam keadaan tidak memuaskan dan pihaknya akan meminta persatuan negeri untuk berbincang dengan pihak berkuasa negeri terbabit bagi memperbaiki keadaan stadium berkenaan.
"Kita akui banyak stadium hoki berada bawah tahap yang kita harapkan, namun saya harap pihak berkuasa negeri dapat memberi keutamaan kepada stadium hoki, saya tahu memang perbelanjaan begitu besar, tetapi (buat masa ini) saya harap pemain, persatuan dan pasukan harus terus bermain juga walau dalam keadaan macam mana sekalipun," katanya.
Laporan akhbar pada Sabtu menyebut hanya 14 daripada 29 stadium hoki di Semenanjung Malaysia boleh digunakan untuk kejohanan Liga Hoki Remaja berkenaan.
-- BERNAMA
Senyum
6 years ago
0 comments:
Post a Comment
Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.