Lazada Malaysia

PKR | Polis Benar Berhimpun di parkir Mahkamah

KUALA LUMPUR: Polis membenarkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan perhimpunan pada hari keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Isnin ini di tempat letak kereta awam di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini.

Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan dengan wakil parti itu yang diketuai Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), di sini semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata hasil perbincangan polis bersetuju membenarkan perhimpunan diadakan selaras Akta Perhimpunan Aman 2011 yang belum diwartakan.
"Bagaimanapun, penganjur mesti memastikan ia dijalankan secara aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam," katanya pada sidang media selepas pertemuan itu.

Selain Mohamed Azmin, empat lagi pemimpin PKR yang hadir adalah Naib Presiden, N Surendran; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin; Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi, Mohd Rafizi Ramli.

Turut dipanggil oleh polis adalah Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA), Mohd Syaril Abdul Aziz dan Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Abd Rahman Abu Bakar. Kedua-dua pertubuhan itu dijadualkan mengadakan solat hajat dan qiamullail di Masjid Wilayah Persekutuan selama dua malam mulai esok.

Sementara itu, pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, Mohamed Azmin berkata, pihaknya memberi jaminan perhimpunan akan dijalankan secara aman dan tiada perarakan dengan bantuan dan pengawasan polis.
Beliau berkata, perhimpunan yang bertujuan memberi sokongan kepada Ketua Pembangkang hanya akan diadakan di satu lokasi seperti yang dipersetujui polis.

“Tiada sebarang perarakan jalanan yang boleh mencetuskan huru hara. Tidak akan ada perhimpunan seumpama itu di tempat lain pada waktu yang sama,” katanya.

Ditanya jumlah kehadiran penyokong yang ramai mungkin menimbulkan kekecohan serta gagal dikawal, Mohamed Azmin yakin polis mampu menanganinya, terutama membabitkan pergerakan peserta.

“Saya sudah memaklumkan kita menganggarkan seramai 100,000 penyokong menyertai perhimpunan itu. Saya yakin mereka sudah bersedia dan memastikan trafik bergerak lancar,” katanya.

Beliau berkata, PKR bersama-sama parti pembangkang lain akan menyediakan 500 petugas khas beruniform bagi membantu polis mengawal kelancaran perhimpunan yang dijadual bermula jam 7 pagi.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin menafikan Anwar cuba mendapatkan sokongan duta asing berhubung keputusan kes liwatnya itu.

“Bukan meraih sokongan tetapi hanya pertemuan biasa dengan wakil asing untuk melaporkan apa yang sedang berlaku di negara ini. Dalam setahun, dua atau tiga kali pertemuan itu diadakan,” katanya mengulas dakwaan Anwar bertemu duta asing bagi mendapatkan sokongan Kempen Bebaskan Anwar.

Sumber Berita Harian Online


Blog, Updated at: Saturday, January 07, 2012

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

Lazada Malaysia

NUFFNANG