Lazada Malaysia

Dewan Suarah Kuching | Penghormatan terakhir kepada pahlawan negara, Temenggung Datuk Kanang Langkau.

Petikan dari Borneo Post Online

KUCHING: Suasana suram menyelubungi Dewan Suarah Kuching pagi semalam apabila orang ramai hadir memberi penghormatan terakhir kepada pahlawan negara, Temenggung Datuk Kanang Langkau.

Mayatnya yang sebelum ini ditempatkan di Dewan Bukavu, Kem Penrissen diletakkan di lokasi itu sehingga pagi hari ini sebelum dibawa untuk disembahyangkan di Gereja St Thomas.

Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah turut menyertai orang ramai memberi penghormatan terakhir terhadap mendiang yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada pagi 3 Januari.

Kanang, 68, merupakan wira negara yang berjuang habis-habisan menentang pengganas komunis dan merupakan penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa dan Pingat Gagah Berani.

Turut memberi penghormatan terakhir, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Morshidi Ghani dan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen bersama rakan-rakan seperjuangannya dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) turut meluangkan masa memberi penghormatan terakhir.

Pada kira-kira jam 3 petang hari ini, mayat mendiang Kanang akan dikebumikan di Makam Pahlawan di Jalan Taman Budaya yang dijangka akan dihadiri Taib dan Jabu.


Blog, Updated at: Sunday, January 06, 2013

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

NUFFNANG