Lazada Malaysia

Misi Bantuan Kemanusiaan KP1M Ke Gaza Sedia Hadapi Kekangan Sepanjang Perjalanan

KAHERAH, 16 Ogos (Bernama) -- Misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) ke Gaza bersedia menghadapi sebarang kekangan yang bakal dihadapi sepanjang perjalanan sejauh kira-kira 500 kilometer dari bandar Kaherah ke pintu sempadan Rafah.

Duta Malaysia di Mesir dan Palestin Datuk Ku Jaafar Ku Shaari berkata, pihaknya telah merancang koordinasi dan aturan keselamatan dengan kerajaan Mesir bagi memudahkan urusan misi bantuan itu.

Beliau berkata, antara cabaran yang bakal dilalui termasuk bilangan pos kawalan pasukan keselamatan yang banyak, kekurangan bekalan petrol serta liputan telekomunikasi yang terhad di sesetengah kawasan.
Bagaimanapun beliau yakin, pergerakan misi tidak akan menghadapi masalah, sebelum tiba di Ismailliyah, kira-kira 200km dari Kaherah.

"Bila kita dah sampai ke Ismailliyah, kita naik feri dan seberangi jambatan (Terusan Suez), selepas itu baharulah kita perlukan kawalan keselamatan yang lebih rapi...ini telah diatur," katanya dalam taklimat kepada peserta misi, di sini, Jumaat malam.

Ku Jaafar berkata selepas menyeberangi Terusan Suez, terdapat lebih banyak pos kawalan polis dan tentera sehingga di utara Sinai memandangkan kawasan berkenaan aktif dengan aktiviti militan sehingga ke sempadan Rafah.

"Berdasarkan maklumat yang diberikan, kawasan itu mungkin mengalami gangguan perhubungan telefon, jadi mungkin agak susah nak berhubung.

"Di sana juga berlaku kekurangan gas dan gasoline...jadi dalam hal ini, saya dah minta pejabat sediakan gasoline dan sebagainya (untuk dibawa bersama)," katanya.

Ku Jaafar berkata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan semasa keselamatan pasukan misi itu.

"Dia minta kita berhati-hati, kerana sejak awal dia sangat ambil berat soal keselamatan," tambah beliau.

Misi berkenaan yang turut disertai Mercy Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) akan bertolak ke sempadan Rafah pada kira-kira 7 pagi waktu tempatan (12 tengah hari waktu Malaysia), Sabtu selepas perancangan awal untuk bertolak pada 12.30 pagi, ditunda atas sebab keselamatan dan logistik.

Diketuai Presiden KP1M Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, misi bantuan kemanusiaan itu merancang untuk mengagihkan sebanyak 5,000 kotak bekalan makanan untuk 25,000 warga Palestin serta menyampaikan bantuan perubatan kepada mangsa serangan Israel di Gaza.

Media melaporkan, hampir 2,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan kejam Israel di Semenanjung Gaza, sejak 8 Julai lalu.

Pada Rabu malam, agensi berita antarabangsa melaporkan, pihak Israel dan Palestin setuju melanjutkan tempoh gencatan senjata selama lima hari selepas tempoh gencatan senjata selama 72 jam sebelum ini, berakhir pada malam yang sama. -Bernama


Blog, Updated at: Saturday, August 16, 2014

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

Lazada Malaysia

NUFFNANG