Lazada Malaysia

Perarakan Jalanan Pesta Kuching kembali diadakan pada 6 September

KUCHING: Perarakan Jalanan Pesta Kuching akan kembali diadakan selepas yang terakhir pada 2008, sebagai simbolik penutupan Pesta Kuching 2014, pada 6 September (Sabtu).

Ahli Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Kaunselor Mohamad Taufik Abdul Ghani berkata, susulan respons memberansangkan yang diterima daripada orang ramai, pihak majlis memutuskan mahu menghidupkannya kembali pada tahun ini.


“Acara perarakan jalanan ini merupakan salah satu acara simbolik besar untuk menutup Pesta Kuching, namun ekoran beberapa masalah kesihatan persekitaran yang berlaku beberapa tahun lepas, ia telah ditangguh.

“Namun yang demikian, kami berhasrat mahu menghidupkan acara perarakan ini kembali pada tahun ini dan menjadikan ia sebagai tarikan utama acara Pesta Kuching 2014,” katanya.

Selain itu katanya, Perarakan Jalanan Pesta Kuching 2014 yang disertai seramai 1,500 peserta (51 kontinjen) itu bakal menyajikan enam kategori perarakan merangkumi ‘Cultural Troupe Category’, ‘Fancy Costume Category’, ‘Fancy Costume Junior Category’, ‘Marching Band Category’, kategori kereta berhias serta kategori lain, jelasnya.

Beliau yang juga merupakan pengerusi acara berkata demikian pada sidang media Perarakan Jalanan Pesta Kuching 2014 di MBKS di sini, semalam.

Tambah beliau, acara tersebut akan menjadi sesuatu yang istimewa dan berlainan daripada sambutan tahun sebelumnya kerana dijangka turut akan dihadiri kenamaan seperti Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

“Kami mempelawa seluruh warga kota Kuching hadir bagi memeriahkan lagi sambutan perarakan itu kelak.

“Pada masa sama, kami juga telah menyediakan satu persembahan bunga api terbesar pada jam 11 malam bagi merancakkan lagi sambutan pada hari perarakan itu kelak,” tambahnya.

Kesemua kontinjen akan berkumpul di Padang Jubilee, di sini dan terus mempersembahkan persembahan masing- masing untuk diadili oleh panel juri jemputan bermula jam 6 petang.

Manakala pada jam 8 malam, setiap kontinjen akan bersiap sedia untuk memulakan perarakan bermula di Jalan Tan Sri Datuk William Tan dan melalui Jalan Padungan dan Jalan Tunku Abdul Rahman terus menghala ke arah pentas utama di depan Hotel Hilton.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Jurutera Eksekutif Kanan MBKS merangkap penyelaras acara perarakan Vincent Ang. -Utusan Borneo


Blog, Updated at: Thursday, August 28, 2014

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

NUFFNANG