KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata penglibatan seluruh masyarakat dalam menjayakan Hari Perkabungan Negara hari ini adalah sangat luar biasa dan mengagumkan.
Sambil menzahirkan rasa puas hati terhadap peranan dan liputan yang dibuat media, beliau berkata walaupun istiadat memberi penghormatan kepada jenazah mangsa nahas MH17 itu hanya berpusat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), namun ia dapat dirasai dan dihayati rakyat di seluruh negara.
"Walaupun ia berpusat di KLIA tetapi pergerakan kenderaan yang membawa jenazah ke beberapa negeri mendapat penglibatan menyeluruh rakyat dan ia adalah amat luar biasa sekali.
"Ia menggambarkan yang menggerakkanya bukan kenderaan, bukan tangan tetapi yang menggerakkannya ialah hati-hati kita semua yang menunjukkan kita semua amat bersatu hati," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Selepas 37 hari tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 ditembak jatuh di Ukraine, jenazah 20 daripada 43 rakyat Malaysia tiba di tanah air pagi tadi dan diberikan penghormatan mengikut istiadat ketenteraan sejurus tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berkenan menyambut ketibaan jenazah disertai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Berhubung cara sambutan bagi menyambut ketibaan jenazah seterusnya dari Amsterdam pada Ahad ini, Ahmad Shabery berkata kaedah sambutan adalah sama kecuali hari tersebut tidak diisytiharkan sebagai hari bergabung seperti hari ini.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan berkata tiga lagi jenazah warganegara Malaysia mangsa nahas pesawat MH17 mungkin dibawa pulang ke tanah air, Ahad ini.
Menurutnya dua jenazah telah mendapat pelepasan pulang manakala satu lagi masih menunggu pengesahan pihak berkuasa Belanda. -Bernama
MENARIK: PERHATIKAN APA YANG PELIK
4 years ago
0 comments:
Post a Comment
Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.