SIBU: Lagi kes tembakan berlaku di bandar ini melibatkan ahli perniagaan dikenali sebagai Ah Kang, 44, dan seorang rakannya di sebuah kedai kopi di Jalan Pahlawan di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi ketika dihubungi Utusan Borneo mengesahkan kejadian itu dan kes masih dalam siasatan.
Dalam kejadian sekitar jam 1 petang, mangsa sedang makan tengah hari bersama seorang rakan serta tiga pengawal peribadi di kedai kopi terbabit yang terletak Lorong Pahlawan 7A-4.
Menurut fakta kes, sebuah kereta Proton Wira berwarna coklat dinaiki tiga suspek tiba-tiba muncul dan melepaskan satu das tembakan.
Suspek dipercayai menggunakan senapang patah laras pendek 12 Bore.
Tembakan itu mengena tapak tangan kiri Ah Kang dan tersasar sedikit ke bahagian telinga dan pipi rakannya yang juga berusia 44 tahun.
Siasatan awal polis mendapati tiga suspek berkenaan yang dipercayai Bumiputera melepaskan tembakan dari dalam kereta sebelum memecut laju meninggalkan tempat kejadian.
Salah seorang pengawal peribadi Ah Kang dipercayai sempat membalas dua das tembakan yang terkena bahagian bonet hadapan kereta itu. Difahamkan, pengawal peribadi Ah Kang mempunyai lesen senjata api yang sah.
Polis yang tiba di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian menjalankan siasatan terperinci termasuk menjejaki kereta berkenaan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berdekatan.
Polis juga menemui sembilan kesan peluru yang menembusi langsir kayu kedai kopi itu dan tembakan turut terkena kaca peti sejuk yang pecah.
Selepas kejadian itu, Ah Kang bersama rakannya dikejar ke Pusat Perubatan Rejang dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
Kejadian itu berlaku tidak jauh dari lokasi kes tembakan pada 3 November 2012 yang menyebabkan kematian isteri Ah Kang, kira-kira 80 meter dari insiden semalam.
Dalam kejadian itu, Ah Kang bersama mendiang isterinya.
Law Leh Kuong sedang makan tengah hari bersama sepupu lelakinya dan isteri serta seorang lagi rakan lelaki.
Polis Sibu sedang menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Dalam perkembangan terkini, polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menemui kereta Wira yang dipercayai digunakan suspek di Lorong 21, Jalan Gambar di sini pada jam 6 petang semalam.
Kereta itu didapati berada dalam keadaan pancit tayar sebelah kiri depannya yang dipercayai memaksa suspek meninggalkan kereta terbabit di situ. -Utusan Borneo
Senyum
6 years ago
0 comments:
Post a Comment
Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.