Lazada Malaysia

Terpulang Kepada Anggota Kabinet Isytihar Ikrar - Adenan



KUCHING, 24 Sept (Bernama) -- Anggota Kabinet Sarawak boleh membuat keputusan sendiri sama ada mahu mengisytiharkan ikrar untuk tidak membenarkan anggota keluarga atau sanak saudara mereka memohon konsesi pembalakan atau tanah kerajaan negeri, kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan mereka (anggota kabinet negeri) supaya berbuat sepertimana yang beliau lakukan beberapa bulan selepas memegang jawatan ketua menteri.

"Saya masih komited terhadapnya (ikrar). Ini (untuk anggota Kabinet negeri membuat ikrar sama) terserah pada mereka...namun saya menasihatkan mereka berbuat demikian," kata Adenan dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Integriti Kakitangan Penguatkuasaan Perkhidmatan Awam Sarawak, di Kuching, Rabu.

Beliau yang dilantik Ketua Menteri Sarawak kelima pada Mac lepas telah menyatakan komitmen untuk tidak membenarkan anggota keluarganya memohon tanah kerajaan negeri atau konsesi pembalakan seperti dicadangkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Jun lepas.

Bagaimanapun, masih belum ada anggota kabinet negeri yang mengikut jejak Ketua Menteri mengisytiharkan ikrar mereka.

Sementara itu, Adenan, yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Negeri berkata kerajaan negeri sedang dalam proses menyediakan senjata api bagi kakitangan Jabatan Perhutanan dan menambah empat lagi kenderaan pacuan empat roda dalam usaha memerangi kegiatan pembalakan haram.

Beliau berkata 50 orang kakitangan jabatan itu akan menjadi perintis menjalani latihan penggunaan senjata api yang akan mereka gunakan semasa melakukan operasi mengesan pembalakan haram.

Langkah itu, katanya akan meningkatkan keyakinan kakitangan itu dalam menjalankan tugas, khususnya dalam menghadapi pembalak haram yang mungkin bersenjata dan agresif.

Menurut Adenan, hutan Sarawak telah dimusnahkan oleh kegiatan pembalakan haram dan walaupun beberapa serbuan mencatatkan kejayaan, mungkin banyak lagi yang belum dikesan.

"Kami mahu pegawai dan warden perhutanan menjalankan rondaan sepanjang masa. Saya menjangka untuk melihat hasilnya (pembanterasan pembalakan haram) dalam tempoh enam bulan akan datang.

Jika angkanya masih tidak meningkat, dengan itu kami akan lakukan sesuatu yang lebih drastik," katanya. -Bernama


Blog, Updated at: Thursday, September 25, 2014

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

Lazada Malaysia

NUFFNANG