Lazada Malaysia

Gempa Bumi Di New Zealand Christchurch Seperti Zon Perang

 * Kesemua rakyat Malaysia termasuk 390 pelajar yang berada di Christchurch, New Zealand dilaporkan berada dalam keadaan selamat selepas gempa bumi kuat melanda bandar raya itu.
 
KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Seperti zon perang. Itulah gambaran yang diberi pelajar Malaysia di Christchurch, New Zealand selepas gempa bumi dengan kekuatan 6.3 melanda wilayah itu Selasa.

"Keadaan seperti kena bom dan seolah-olah berada di zon perang. Saya tercampak beberapa meter dari tempat bekerja hingga menyebabkan kaki saya lebam teruk serta kasut koyak," kata Abdullah Mohd Nawi ketika dihubungi Bernama.

Pelajar ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Canterbury itu berkata beliau sempat berlindung di bawah meja bagi mengelakkan dihempap oleh benda yang jatuh.

"Sebaik keluar dari bangunan itu, saya agak hilang arah dan tidak tahu hendak ke mana, rasa takut jangan cakaplah apatah lagi apabila melihat keadaan sekeliling orang berlari-lari untuk selamatkan diri serta bunyi siren bomba, polis dan ambulans," katanya.


Beliau berkata orang ramai berpusu-pusu melarikan diri ke kawasan lapang bagi mengelakkan diri daripada ditimpa runtuhan bangunan jika berlaku gempa susulan.

"Ketika itu, hendak jalan memang sukar kerana terpaksa mengharungi air yang keluar di sebalik rumput akibat gempa bumi dan difahamkan ia adalah air kumbahan yang pecah di bawah tanah dan bayangkan situasi ketika itu yang amat busuk," katanya.

Beliau juga dapat melihat beberapa orang yang masih terperangkap dalam bangunan meminta tolong dengan melambai-lambai menggunakan baju agar dapat dilihat oleh pihak penyelamat.

Abdullah bagaimanapun tetap bersyukur kerana selain beliau, isteri serta dua anaknya yang berada di kediaman mereka juga terselamat.

Kejadian gempa yang melanda pada waktu tengah hari waktu tempatan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 65 terbunuh serta ramai terperangkap dalam bangunan yang runtuh.

Bagaimanapun Wisma Putra melaporkan semua rakyat Malaysia termasuk 390 pelajar berada dalam keadaan selamat.

Ini merupakan kali kedua bandar raya itu dilanda gempa bumi dalam tempoh enam bulan, selepas gegaran sekuat 7.1 pada skala Richter pada September lepas yang mengakibatkan kerosakan serius pada bangunan dan infrastrukturnya.

Sementara itu bekas editor bersekutu The Star, Hah Foong Lian yang mengikuti pengajian peringkat PhD di sana berkata beliau tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Saya berada dalam keadaan baik. Agak terkejut dengan kejadian itu. Rumah yang saya diami juga masih utuh, tetapi di hujung jalan seorang wanita terbunuh di bawah runtuhan kedai buku," katanya menerusi emel kepada Bernama.

Katanya laporan media menyebut 65 terbunuh manakala 100 lagi dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

"Keadaan seolah-olah bukan realiti kerana begitu banyak kemusnahan, tetapi tempat saya OK. Saya ke rumah jiran saya untuk mengikuti laporan berita. Kami semua berkumpul di situ bagi melihat kemusnahan yang melanda bandar raya menerusi televisyen.

"Memang sukar dipercayai kejadian ini berlaku lagi. Saya fikir kami berjaya mengharungi kejadian pertama tetapi kali ini agak teruk," katanya.

Hah berkata sesetengah daripada mereka juga takut untuk duduk bersendirian di dalam rumah kerana bimbang dengan gegaran susulan.

"Kita tidak tahu bila gegaran besar seterusnya akan berlaku, dan amat menakutkan jika anda terbangun dan mendapati anda berada di bawah timbunan runtuhan. Saya fikir tidak ada siapa pun di sini yang dapat tidur nyenyak malam ini," katanya.

Seorang lagi pelajar PhD dari Universiti Lincoln, Tuan Ahmad Tuan Ismail berkata situasi di sekitar bandar Lincoln yang terletak kira-kira 20 km dari Christchurch agak huru-hara.

"Jalan raya sesak, ada kawan saya tereprangkap dalam kereta selama tiga jam semasa hendak ambil anak dia di tadika...situasi kacau-bilau apatah lagi sudah keluar arahan darurat yang mana semua kena duduk di rumah dan tidak dibenarkan keluar.

Katanya semua kedai dan pasar raya juga ditutup ekoran kejadian itu.

"Nasib baiklah saya baru beli baru-baru (keperluan harian) ini jadi adalah sedikit stok makanan," katanya.

Sumber BERNAMA


Blog, Updated at: Wednesday, February 23, 2011

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

NUFFNANG