Lazada Malaysia

Gempa Bumi di Aceh | Pelajar Malaysia Selamat

JAKARTA: Gempa bumi kuat berukuran 7.1 pada skala Richter awal tadi yang menggoncang pusat bandar Banda Aceh, turut mengejutkan pelajar Malaysia di situ yang sedang nyenyak tidur, namun mereka semua dilaporkan selamat.

Atase Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia Jakarta yang juga Setiausaha Satu Education Malaysia di Indonesia, Ludinata Misnun, berkata sejurus selepas kejadian, Biro Kebajikan, Keselamatan dan Kediaman Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Cawangan Aceh menghubungi semua pelajar Malaysia terbabit dan meminta mereka menyelamatkan diri.
Mereka diminta pergi ke tempat tinggi bagi mengelakkan ancaman tsunami, bagaimanapun selepas pihak berkuasa menarik semula amaran tsunami, mereka kembali ke kediaman masing-masing, katanya dalam kenyataan di sini.

Gempa bumi yang berlaku pada jam 1.36 pagi itu, berpusat di lautan kira-kira 419km barat daya Meulaboh, Aceh dan kesan gegarannya dirasai hingga ke Medan, Sumatera Utara. Beberapa gempa susulan turut berlaku selepas itu.

Sementara itu, Ludinata berkata, semua pelajar Malaysia di Medan juga selamat dalam peristiwa gempa bumi itu.
Bagaimanapun, hasil maklumat daripada seorang anggota jawatankuasa Kelab UMNO Medan berkata, sebahagian besar pelajar Malaysia di Medan tidak menyedari kejadian gempa bumi itu kerana gegaran yang agak lemah di bandar berkenaan.

Seramai 206 pelajar Malaysia sedang menuntut di institusi pengajian tinggi di Aceh manakala pelajar Malaysia di Medan berjumlah 1,620 orang.
Sehingga kini masih belum ada laporan berhubung kerosakan pada harta benda atau kehilangan nyawa daripada peristiwa gempa bumi itu. - BERNAMA


Blog, Updated at: Wednesday, January 11, 2012

1 comments:

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

Lazada Malaysia

NUFFNANG