Lazada Malaysia

Karpal Singh, Pembantu Peribadi Maut Dalam Kemalangan Lebuhraya PLUS Di Kampar

IPOH, 17 April (Bernama) -- Anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh dan pembantu peribadinya maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan serba guna (MPV) yang dinaikinya dan lori di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar awal pagi Khamis.


Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata Karpal Singh, 74, dan pembantu peribadinya Michael Cornelius, 40-an, maut di tempat kejadian.

Selain itu, katanya, pembantu rumah Karpal Singh, seorang wanita warga Indonesia cedera parah dan mengalami pendarahan di bahagian otak sementara anak lelaki bekas pemimpin DAP itu, Ramkarpal Singh, 38, dan pemandu kenderaan MPV C.Selvam, 27, yang merupakan warga India tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan pada pukul 1.10 pagi itu.


Beliau berkata pemandu lori Abu Mansor Mohd, 45, dari Petaling Jaya mengalami cedera ringan manakala dua penumpang kenderaan itu, Nur Azlina Ahmad, 23 dan seorang kanak-kanak perempuan, Nurieman Diana Qhaleesha Abdullah, 4, tidak cedera.

"Siasatan awal polis mendapati kenderaan MPV jenis Toyota Alphard berwarna putih yang membawa lima penumpang termasuk Karpal Singh dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan apabila tiba di kawasan kejadian dan melanggar bahagian belakang kanan lori Mitsubishi Canter yang sedang bergerak di sebelah kiri laluan itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata ketika kejadian Karpal duduk di bahagian hadapan sebelah pemandu manakala Michael di tempat duduk belakang Karpal.

Katanya lori lima tan yang membawa muatan simen, besi dan mozek itu dipercayai bergerak perlahan di sebelah kiri laluan ke utara lebuhraya berkenaan memandangkan ia membawa muatan berat dan tempat kejadian juga merupakan kawasan laluan berbukit.

Ng berkata akibat rempuhan itu, kenderaan Toyota Alphard berkenaan mengalami rosak teruk di bahagian hadapan sebelah kiri manakala lori rosak di bahagian belakang sebelah kanan.

"Semakan ke atas kenderaan MPV itu mendapati, ia mempunyai 29 rekod kesalahan lalu lintas iaitu pandu laju dan 15 saman masih belum dijelaskan," katanya.

Menurut Ng, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat manakala pembantu rumah berkenaan menerima rawatan di hospital sama.

Operasi mengeluarkan kesemua mangsa turut dibantu anggota Bomba dan Penyelamat di tempat kejadian, katanya.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA


Blog, Updated at: Thursday, April 17, 2014

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

Lazada Malaysia

NUFFNANG