Lazada Malaysia

PAS Bakal Hadapi Kesukaran Bentang Rang Undang Hudud Di Dewan Rakyat

MUAR, 14 April (Bernama) -- PAS bakal berdepan kesukaran dalam melaksanakan hukum hudud di Kelantan kerana dijangka ditentang DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tidak mahu berganjak daripada keputusan mereka menolak pelaksanaan hukum itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata PAS perlu mendapatkan sokongan 40 anggota Parlimen bukan Islam termasuk DAP dan PKR agar persetujuan dua pertiga di Dewan Rakyat diperoleh bagi melaksanakan hukum itu di Kelantan.

Beliau berkata 30 anggota Parlimen PAS dan 79 Anggota Parlimen Umno ketika ini masih belum cukup kerana untuk mendapat majoriti dua pertiga memerlukan 148 undi.

"Perkara ini bukan soal kaum atau agama tetapi pelaksanaannya memerlukan persetujuan semua kaum. Kalau PAS masih mendapat bantahan DAP dan PKR, maka masalah ini perlu diselesaikan terlebih dahulu," katanya selepas merasmikan bangunan baru, Hari Keusahawan dan Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Sultan Abu Bakar di sini, Ahad petang.

Sebelum ini kerajaan PAS Kelantan melalui anggota Parlimen parti itu dilaporkan akan membawa usul rang undang-undang persendirian (Hukum Hudud) di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember depan.

Keputusan itu merupakan susulan kesediaan Kerajaan Persekutuan yang memberi laluan kepada mana-mana negeri bagi menguatkuasakan Hukum Hudud di negeri masing-masing.

Bagaimanapun, DAP menerusi Penasihatnya Lim Kit Siang, Ketua Publisitinya Tony Pua serta Naib Presiden PKR N. Surendran memberi peringatan keras kepada PAS bahawa hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pembangkang dan sebarang cubaan untuk membentangkan usul rang undang-undang tersebut di Dewan Rakyat akan ditentang.

Razali berkata PAS seharusnya bertegas dengan pendiriannya di samping mencari jalan untuk mendapat persetujuan sekutunya kerana sebelum ini mendakwa parti itu sudah dapat 'meyakinkan' DAP tentang ajaran Islam.

Razali yang juga anggota Parlimen Muar berkata sokongan daripada anggota Parlimen PKR yang beragama Islam tidak ramai untuk PAS memperoleh sokongan dua pertiga apatah lagi mereka berfikiran liberal, maka sokongan anggota Parlimen bukan Islam diperlukan.

Razali juga berkata, beliau yakin semua wakil rakyat Umno akan memberi sokongan dan PAS perlu bersedia sepenuhnya daripada semua aspek sebelum melaksanaka hukum hudud, kerana perkara itu turut melibatkan beberapa peraturan dan pindaan undang-undang.

-- BERNAMA


Blog, Updated at: Monday, April 14, 2014

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

NUFFNANG