Lazada Malaysia

Sejarah Melaka Mungkin Perlu Dirombak - IKSEP

MUAR, 27 Mei (Bernama) -- Sejarah Melaka dalam buku teks sekolah berkemungkinan perlu dirombak semula berdasarkan penemuan baharu Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme (IKSEP).

Pengurus Besar IKSEP Datuk Aziz Ujang berkata penemuan itu dibuat hasil kajian institut itu yang dalam proses menyiapkan lapan jilid Buku Sejarah Nasional Malaysia, yang kini masuk 80 peratus siap.

Sejarah kegemilangan Melaka dirujuk 100 tahun sebelum kejatuhan empayar itu pada 1511 tetapi melalui kajian terbaharu IKSEP, ia sebenarnya bermula lebih awal iaitu pada 1262, katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kem Rakan Remaja Patriotik 2014 peringkat negeri di Pusat Latihan Khidmat Negara Nasuha di Pagoh hari ini.

Katanya beliau akan bertemu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pendidikan berhubung perkara itu.

Beliau berkata empat jilid pertama Buku Sejarah Nasional Malaysia yang menelan belanja RM4 juta itu bakal dilancar November depan.

Aziz berkata buku sejarah itu merupakan hasil kajian lima tahun, membabitkan 18 orang pakar sejarah negara termasuk dari Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sebelum empat jilid pertama itu diterbitkan, IKSEP akan menganjurkan bengkel kepada mana-mana pihak yang berminat untuk menambah baik isi kandungan buku sejarah berkenaan.

Aziz berkata untuk mengelak daripada fakta sejarah dalam buku tersebut dipertikai, kesemua pakar sejarah yang terlibat dalam membantu pengisian buku tersebut adalah daripada ahli-ahli akademik pelbagai bangsa bagi menentukan kesahihannya dan tidak terpesong daripada kebenarannya.

Antara kandungan buku itu termasuk menjejaki sejarah negara di antara prasejarah daripada zaman Paleolitik iaitu zaman batu awal, Mesolitik (zaman batu pertengahan), Neolitik (zaman batu baharu), ke rentas era kegemilangan Empayar Melayu Melaka, pra dan pasca Merdeka sehingga era globalisasi yang membentuk Malaysia moden.

Katanya, sumber buku sejarah Nasional Malaysia adalah berdasarkan daripada rekod, dokumen serta hikayat-hikayat Melayu dan Cina termasuk arkib, muzium dan pusat sejarah terutama di Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam. -Bernama


Blog, Updated at: Wednesday, May 28, 2014

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

Lazada Malaysia

NUFFNANG