Lazada Malaysia

Liga Super 2014: Sarawak VS T-Team

KUCHING: Pertahanan import kental Sarawak, Gabor Gyepes tidak akan diturunkan dalam perlawanan Liga Super 2014 menentang T-Team di Stadium Negeri malam ini akibat kecederaan.

Ketiadaan Gabor sedikit terubat dengan penampilan semula Ronny Harun yang pulih daripada kecederaan lutut dialaminya sebelum ini.

Selain Gabor, Sarawak juga tidak menurunkan Hassan Mohamed yang turut dibelenggu kecederaan.

Perlawanan menentang T-Team malam ini diibaratkan sebagai misi ‘membalas dendam’ selepas anak-anak buah Robert Alberts dikecewakan dengan 2-0 ketika beraksi di gelanggang lawan pada 8 Mac lalu.

Sarawak perlu menang dalam perlawanan itu selepas kekalahan 4-1 dalam aksi terakhir menentang Perak di Stadium Ipoh, pada 23 Mei lalu.

Kelebihan dimiliki Sarawak pada perlawanan menentang T-Team malam ini ialah tampak kebal apabila beraksi di gelanggang sendiri dengan sorakan padu penyokong.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah sudah pasti tidak akan memberi laluan mudah kepada Sarawak untuk menang kerana pasukan kelab dari Pantai Timur itu juga memerlukan tiga mata penuh untuk mengukuhkan kedudukan dalam saingan liga.

Ketika ini Sarawak menduduki tangga ketujuh manakala T-Team berada di tangga kesembilan Liga Super.

Alberts ketika dihubungi semalam berkata, pasukannya perlu memperolehi tiga mata penuh dalam perlawanan menentang T-Team untuk mengukuhkan kedudukan dalam Liga Super musim ini.

Biarpun kalah menentang Perak sebelum ini, anak-anak buahnya kini bersemangat untuk bangkit meraih kemenangan termasuk dengan sekembalinya beberapa pemain yang cedera dan digantung perlawanan beraksi malam ini.

“Dengan kembalinya beberapa pemain, taktikal yang kita amalkan sebelum ini mudah untuk dipraktikkan.

“Saya melihat kita memang memiliki peluang untuk menang dalam perlawanan menentang T-Team,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak memandang rendah kemampuan T-Team yang turut memerlukan kemenangan mutlak malam ini.

“Perlawanan menentang T-Team terbuka dan saya berharap pemain yang diturunkan dapat menunjukkan prestasi terbaik untuk mencatat kemenangan,” katanya.

Sarawak bakal menurunkan Fadzley Abdul Rahim sebagai penjaga gol manakala benteng pertahanan dikemudikan Ronny, Mazwandi Zakeria, Hairol Mokhtar dan Ramesh Lai.

Mohd Shahrol Saperi dan Junior Eldstal akan bergandingan di barisan tengah, sementara S Chanturu dan Joseph Kalang Tie di bahagian sayap.

Barisan penggempur Sarawak akan dikemudikan oleh dua penyerang import, Muamer Salibasic dan Ryan Griffiths.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Abdullah Julaihi merayu para penyokong tidak membakar suar dan membawa benda dilarang masuk ke stadium malam ini.

“Kita tidak disebabkan perkara ini (bakar suar)… kita terus didenda,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Bagaimanapun, penyokong-penyokong setia pasukan Ngap Sayot dibenarkan membawa benda yang boleh memeriahkan suasana bagi memberi semangat kepada pemain-pemain. -utusan borneo


Blog, Updated at: Tuesday, June 10, 2014

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

NUFFNANG