Lazada Malaysia

MH17 | Urusan Bawa Keluar Satu Lagi Jenazah Bermula Isnin

THE HAGUE, 24 Ogos (Bernama) -- Urusan membawa keluar satu lagi jenazah warga Malaysia mangsa tragedi MH17 dari Kem Perubatan Tentera Hilversum dekat sini, akan bermula Isnin.

Sumber berkata jenazah lelaki Islam itu dikenal pasti identitinya pada Jumaat lepas, namun proses membawa keluar hanya akan bermula Isnin kerana urusan pentadbiran dan formaliti tidak dijalankan pada hujung minggu.

"Kita akan cuba melalui proses membawa keluar pada Isnin. Kebiasaannya proses mengambil masa beberapa hari kerana banyak prosedur dan dokumentasi perlu dilakukan," katanya kepada Bernama.

Menurut Prosedur Operasi Standard, sebaik sahaja dikenal pasti jenazah adalah milik sesebuah negara sewaktu proses pengecaman dan identiti mangsa di Kem Perubatan Tentera Hilversum, jenazah kemudian perlu melalui lima proses penting.

Ini antaranya melibatkan proses mendapatkan sijil kematian, sijil perubatan, laporan bencana, permit kebenaran penghantaran jenazah dan surat persetujuan pegawai pendakwa raya Belanda bagi jenazah dikebumi atau dibakar.

Selesainya proses itu, jenazah kemudian dipindahkan ke rumah mayat Monuta Innemee, S-Gravenhage di sini, kira-kira 90km dari Hilversum untuk menjalani pengurusan jenazah mengikut kepercayaan agama masing-masing.

Sumber itu turut tidak menolak kemungkinan ada beberapa lagi jenazah akan diuruskan untuk dibawa balik serentak dengan jenazah lelaki itu bagi kumpulan ketiga namun enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, seorang anggota keluarga kepada jenazah lelaki itu yang enggan dikenali berkata pihaknya bersyukur kerana jenazah anggota keluarga mereka telah dikenal pasti dan berharap dapat membawa pulang secepat mungkin.

Pada Jumaat, kumpulan pertama 20 jenazah yang melibatkan 11 penumpang dan sembilan anak kapal dibawa pulang dari Amsterdam dengan sebuah pesawat khas dan hari ini, kumpulan kedua melibatkan tiga mangsa tragedi itu tiba di tanah air.

Penerbangan MH17, yang membawa 289 penumpang termasuk 15 anak kapal, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di timur Ukraine, pada 17 Julai lepas.

Ia dipercayai ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab. -Bernama


Blog, Updated at: Monday, August 25, 2014

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

NUFFNANG