Lazada Malaysia

Kertas UPSR Bocor Serlah Ketiadaan Integriti Pihak Terlibat Peperiksaan

KUCHING: Sikap mengambil jalan singkat untuk memperolehi keputusan yang cemerlang amat dikesali yang menunjukkan ketiadaan nilai integriti pihak terlibat dalam peperiksaan.

Perkara itu ditegaskan Menteri Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah yang memberitahu tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu memberi kesan dan tekanan kepada pelajar yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Perkara sebegini seharusnya tidak berlaku kerana integriti dalam menyediakan kertas peperiksaan itu amat penting. Sebab itu, semua pihak terlibat perlu faham tentang nilai integriti mereka supaya soalan peperiksaan tidak bocor.

“Tindakan sebegini amat dikesali kerana mereka mahu mendapatkan keputusan yang cemerlang dengan jalan mudah tanpa berusaha,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Program Latihan Pengarah Wanita di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Fatimah memberitahu selain nilai integriti, kemajuan teknologi baharu masa kini perlu diatasi bagi memastikan soalan peperiksaan tidak mudah bocor.

“Kita perlu melihat kelemahan kita termasuk (dari segi) adanya teknologi baharu masa kini bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang kembali termasuk peperiksaan yang akan datang seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” tegasnya.

Beliau menjelaskan bagi memastikan soalan tidak bocor proses menyediakan soalan, mencetak, membungkus dan menyimpannya perlu diteliti dari segi kawalan keselamatannya termasuk ketika penghantaran ke pusat peperiksaan sebelum ujian dijalankan.

“Justeru, kita berharap mereka yang terlibat dalam perkara ini dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang sewajarnya,” ujarnya.

Fatimah berkata lagi disebabkan tindakan yang tidak bertanggungjawab itu, pelajar UPSR terpaksa berhadapan dengan tempoh tekanan yang lebih lama.

“Sesuatu yang sangat menyedihkan kerana ia memberi kesan kepada pelajar, ibu bapa dan guru kerana ia memberi tekanan dan kebimbangan kepada mereka.

“Mereka sudah membuat persiapan tetapi mereka terpaksa menunggu satu tempoh lagi untuk menduduki ujian berkenaan,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Serina Sauni berkata, beliau menyerahkan tugas kepada pihak sekolah untuk memperlengkapkan pelajar mereka bagi menghadapi ujian berkenaan.

“Insiden sebegini pernah berlaku dan ia mesti ada hikmahnya dan kita di pihak Jabatan Pendidikan Negeri masih menunggu tindakan selanjutnya dan bagi peperiksaan kertas lain ia diteruskan seperti yang dijadualkan,” jelasnya.

Kelmarin, Lembaga Peperiksaan mengeluarkan kenyataan bahawa kertas peperiksaan Sains 018, 028, 038 bagi UPSR didapati telah bocor menyebabkan ujian kertas berkenaan ditangguhkan kepada 30 September ini yang sepatutnya diambil pada 11 September.

Malah, semalam Kertas Peperiksaan Bahasa Inggeris 1 dan 2 juga didapati telah bocor. -Utusan Borneo


Blog, Updated at: Friday, September 12, 2014

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

Lazada Malaysia

NUFFNANG