Lazada Malaysia

Kes Tipu Pembelian ‘online’ Tertinggi di Seluruh Negara

KUCHING: Kes penipuan melibatkan pembelian secara ‘online’ atau atas talian mencatatkan aduan tertinggi daripada para pengguna di seluruh negara.

Naib Presiden Persatuan Suara Konsumer Sarawak (COVAS) Philip Ng yang ditemui semalam berkata, majoriti daripada kes yang diterima daripada pengguna adalah mengenai pembelian secara ‘online.’

Lebih membimbangkan apabila aduan yang diterima didapati membabitkan penjual atau perniagaan ‘hantu’ iaitu tidak wujud dalam dunia sebenar.


“Majoriti daripada aduan yang diterima oleh COVAS daripada pengguna adalah melibatkan penipuan pembelian secara ‘online’ di mana pembeli atau pengguna tidak menerima barang selepas transaksi pembayaran dilakukan.

“Dalam kes ini, pengguna boleh mengemukakan aduan kepadaTribunal Pengguna di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan sewajarnya.

“Namun jika didapati bahawa perniagaan tersebut tidak wujud tindakan KPDNKK tidak mengambil tindakan kerana tiada bukti nyata mengenai penipuan,” ujarnya pada pameran bergerak COVAS di pasar raya besar EMart Matang di sini, semalam.

Berikutan kes penipuan jual beli ‘online’ yang semakin meningkat, Ng menasihatkan pengguna supaya tidak membuat pembelian menerusi ‘online’ kecuali melibatkan syarikat-syarikat yang sah.

Bimbang dengan perkara itu, KPDNKK menerusi organisasi bukan kerajaan (NGO) melancarkan program jangka pendek di seluruh negara bagi memupuk kesedaran pengguna terhadap isu kepenggunaan.

Bagi menjayakan program tersebut, sejumlah RM3.5 juta diperuntukan oleh kerajaan pusat menerusi KPDNKK kepada lebih daripada 20 NGO di seluruh negara bagi program ini.

Di Sarawak, peranan ini dipertanggungjawabkan kepada COVAS untuk menjayakan lapan buah program di seluruh negeri.

Bermula di kawasan Matang semalam, program ini akan diteruskan di Summer Mall Kota Samarahan hari ini diikuti Miri, Sibu, Betong, Sarikei dan Bintulu pada minggu-minggu seterusnya.

COVAS dalam pada itu menyasarkan seramai antara 1,000 hingga 1,500 pengunjung akan mengunjungi setiap lokasi pameran sepanjang penganjurannya.

Turut berada di lokasi pameran semalam untuk berkongsi maklumat dengan para pengunjung ialah Penolong Pegawai Tadbir, Seksyen Kepenggunaan KPDNKK Sarawak Salbiah Hassan.

sumber


Blog, Updated at: Sunday, April 13, 2014

1 comments:

  1. Amaran yg tepat sekali.Berhati2 dgn perniagaan on-line.Namun tak semuanya menipu.Sebab ujudnya kelompok penipu maka perniagaan terpalit busuk nama.

    ReplyDelete

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

Lazada Malaysia

NUFFNANG