Lazada Malaysia

MH370: Kawasan Pencarian Visual Lebih Luas Dirancang Hari Ini - JACC

PERTH, 13 April (Bernama) -- Meskipun tiada sebarang isyarat akustik dikesan dalam tempoh 48 jam lepas, misi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang di Lautan Hindi diteruskan Ahad dengan kawasan pencarian lebih luas.
Memasuki hari ke-37, Pusat Penyelarasan Bersama Agensi (JACC) berkata Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia merancang melakukan pencarian visual membabitkan kawasan seluas kira-kira 57,506 kilometer persegi berbanding 41,393 kilometer persegi pada Sabtu.
Aset digunakan dalam operasi pencarian hari ini turut diperhebat dengan tambahan dua pesawat tentera berbanding sembilan pesawat semalam.
"Sejumlah 11 pesawat tentera, sebuah pesawat awam dan 14 kapal akan membantu usaha mencari hari ini," menurut JACC dalam kenyataan pada Ahad dan menurutnya misi pencarian bertumpu di kawasan kira-kira 2,200 kilometer barat laut Perth.

Dalam usaha untuk mengecilkan kawasan misi pencarian di dasar laut sebelum Kenderaan Dalam Air Automatik digunakan, JACC berkata Kapal Pertahanan Australia Ocean Shield menerusi alat Pengesan Pinger Ditunda akan cuba mengesan lokasi isyarat kotak hitam pesawat itu.
Menurut JACC semasa pesawat AP-3C Orions meneruskan tinjauan akustik, kapal oseanografi HMS Echo dan Ocean Shield turut melakukan operasi pencarian di kawasan berkenaan.
"Keadaan cuaca hari ini diramalkan berlaku tiupan angin barat laut dengan hujan sekejap-sekejap, ombak setinggi satu meter dalam jarak penghilatan lima kilometer dalam keadaan hujan," menurut kenyataan itu.
Rabu lepas, Ketua Penyelaras JACC Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston berkata Kenderaan Dalam Air Automatik akan dikerahkan sebaik sahaja tiada isyarat dikesan.
Pihak berkuasa menganggarkan bateri kotak hitam mungkin boleh bertahan 10 hari lebih lama daripada jangka hayat 30 hari sebelum ia berhenti menghantar isyarat getaran.
Kotak hitam pesawat itu yang merekodkan rakaman data penerbangan dan rakaman suara dalam kokpit, mungkin dapat memberi jawapan kepada persaolan tentang apa yang berlaku kepada MH370 yang melencong beribu-ribu kilometer daripada laluan biasa Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac.
Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian semasa berada di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari sama.
Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya - selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan asal - di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.
Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth.
Najib kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu, Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".
-- BERNAMA


Blog, Updated at: Sunday, April 13, 2014

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

Lazada Malaysia

NUFFNANG