Lazada Malaysia

Pakar sahkan isyarat detikan daripada sebuah kotak hitam

PERTH: Para pakar di Australia dan Amerika Syarikat mengesahkan bahawa isyarat detikan yang dikesan kapal-kapal mencari pesawat Malaysia Airlines yang hilang di selatan Lautan Hindi merupakan peranti buatan manusia dan bukan bunyi semula jadi lautan, demikian menurut Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC).

Ketua Penyelarasnya, Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston berkata para pakar dari Pusat Analisis Akustik Bersama Australia (AJACC) di New South Wales dan pengeluar kotak hitam di Amerika Syarikat, mengesahkan bahawa isyarat 33.31khz itu adalah daripada perakam data penerbangan sebuah kotak hitam.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada isyarat itu datang daripada kotak hitam pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370.

“Dua isyarat yang dikesan kapal pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield ialah pada jam 4.27 petang dan 10.17 malam semalam (malam kelmarin),” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan usaha menjejaki pesawat MAS Penerbangan MH370 di sini semalam.
Beliau berkata isyarat pertama berlangsung selama lima minit dan 32 saat dan yang kedua, tujuh minit.
Pada Isnin, kapal pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield mengesan dua bunyi akustik detikan dalam pencariannya selepas mengesan isyarat itu kali pertama pada Ahad, manakala kapal China Haixun 01 pula mengesan dua isyarat pada Jumaat dan Sabtu.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 12.41 tengah malam, kira-kira sejam kemudian ketika pesawat itu berada di ruang udara Laut China Selatan.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama.
Operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara dilancar di Laut China Selatan selepas ada penemuan menunjukkan MH370 mengubah haluan jauh daripada laluan asal, sepanjang dua koridor iaitu koridor utara meliputi sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Pada 24 Mac, hari ke-17 operasi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 ‘berakhir di selatan Lautan Hindi’ berdasarkan analisis data satelit syarikat telekomunikasi United Kingdom, Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom.

Houston berkata, isyarat-isyarat itu semakin lemah dan ini mungkin disebabkan bateri kotak hitam hampir luput atau alat itu digerakkan oleh arus lautan.
“Lebih banyak isyarat-isyarat itu yang dapat kami kesan, kami dapat memperhalusi kawasan carian dengan lebih baik,” katanya.
Katanya, buat masa ini, kawasan carian bagi Ocean Shield adalah 25km persegi menggunakan ‘Towed Pinger Locater,’ manakala carian di udara akan bermula di kawasan yang ditetapkan.
Houston berkata, satu daripada cabaran dalam usaha mencari di dasar lautan ialah kelodak di dasar lautan yang boleh menghalang rakaman kamera visual dalam usaha mencari pesawat itu.
Katanya, kelodak itu mungkin sedalam 10 meter atau lebih.

Sementara itu, pada sidang akhbar yang sama, Komander Pasukan Petugas Khas 658, Komodor Peter Leavy berkata mereka telah meletakkan 84 pelampung sonar yang dibiarkan terapung di kawasan carian di lautan bagi membantu Ocean Shield mengesan isyarat.
Katanya, alat itu mempunyai beberapa sensor yang boleh mengesan sebarang isyarat sedalam 1,000 kaki (304.8 meter).
Beliau juga berkata, penggunaan kapal selam tidak sesuai disebabkan keupayaan selamannya terhad berbanding kedalaman lautan iaitu 4,500 meter. — Bernama


Blog, Updated at: Thursday, April 10, 2014

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

Lazada Malaysia

NUFFNANG