Lazada Malaysia

Dana RM50 Juta Mampu Ubah Nasib Belia

KUCHING: Penyediaan dana sebanyak RM50 juta kepada bekas pelatih GIATMARA untuk memulakan perniagaan dilihat mampu mengubah nasib golongan Bumiputera khasnya belia di negara ini.

Menurut Pengarah MSF Global Sdn Bhd Mohamad Musyirin Hendari, 30, dana untuk memberi pinjaman kepada bekas pelatih GIATMARA itu adalah satu usaha murni kerajaan membantu Bumiputera bergiat aktif dalam perniagaan.

“Pada pandangan saya dana itu satu usaha yang baik kerajaan untuk membantu bekas pelatih GIATMARA iaitu golongan Bumiputera membangunkan ekonomi dan taraf hidup mereka menerusi perniagaan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di Pusat Komersil Demak Laut dekat sini semalam.

Beliau berkata pemberian pinjaman itu dapat menyediakan modal permulaan kepada bekas pelatih untuk membuka perniagaan mereka.

Namun, Musyirin menegaskan, pemantuan daripada kerajaan perlu dilakukan supaya dana yang disalurkan itu digunakan dengan baik.

“Ia memang satu usaha yang murni tetapi memerlukan perancangan yang rapi dan satu kajian bagaimana kita hendak menyusun atur mereka (bekas pelatih) supaya wang yang disalurkan itu digunakan dengan baik.

“Kalau tidak mereka mungkin akan menyalahgunakan wang yang diberikan itu,” tegasnya.

Katanya sekiranya bekas pelatih berjaya menjalankan perniagaannya maka tidak menjadi masalah untuk membayar semula wang pinjaman itu.

“Kalau mereka berjaya mereka boleh membayar balik pinjaman dan kalau mereka tidak berjaya bagaimana mereka hendak membayar balik pinjaman itu, sebab itu perlu pemantuan khusus untuk mereka ini kerana dana itu boleh digunakan atau disalurkan semula kepada bekas pelatih lain,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau memberitahu dana pinjaman itu harus diagihkan secara saksama kepada golongan sasar di seluruh negeri.

“Kita mahu melihat sejauh mana pembahagian dana itu kepada golongan belia lepasan GIATMARA ini yang betul-betul berminat dalam perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Safizul Fa’izad Paisan, 30, turut menyambut baik usaha kerajaan membantu golongan belia Bumiputera di negara ini.

“Dana untuk bekas pelatih ini dapat membantu mereka menjana pendapatan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada pekerjaan,” katanya.

Menurutnya, bekas pelatih yang diberi pinjaman harus diajar untuk menjalankan dan menguruskan perniagaan dengan betul supaya dana yang disalurkan itu tidak menjadi sia-sia.

“Saya mencadangkan agar bekas pelatih GIATMARA diberi pendedahan khusus dalam bidang perniagaan sebelum mereka membuka sesebuah perniagaan menerusi kemahiran yang mereka pelajari.

“Hal ini penting kerana setiap individu dilahirkan dengan berbeza kemahiran dan kebolehan sebab itu pengetahuan dan pengurusan perniagaan perlu didedahkan kepada mereka ini bagi memastikan mereka berjaya dalam perniagaan,” jelasnya.

Manakala menurut Mohammad Ashraf Hendari, 27, penyediaan dana pinjaman khas untuk bekas pelatih GIATMARA itu amat baik dan mampu meningkatkan taraf hidup belia Bumiputera.

“Saya amat menyokong usaha baik kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat Bumiputera, khasnya belia,” ujarnya.

Pada Sabtu lalu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberitahu, kerajaan menyediakan RM50 juta pinjaman kepada bekas pelatih GIATMARA untuk memulakan perniagaan.

Beliau berkata pinjaman yang mempunyai had maksimum RM10,000 seorang dan tidak memerlukan sebarang cagaran itu bakal memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 5,000 bekas pelatih GIATMARA.

sumber Borneo Post


Blog, Updated at: Tuesday, April 08, 2014

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

Lazada Malaysia

NUFFNANG