Lazada Malaysia

Bukan Mudah Jadi Ketua Menteri - Adenan

KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem menyifatkan pelantikannya sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima sebagai satu tanggungjawab besar dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat negeri ini terus dipelihara.

Beliau turut mengakui, tugas sebagai Ketua Menteri bukanlah suatu perkara yang mudah memandangkan tanggungjawab yang perlu dipikulnya begitu besar.

“Saya menganggap jawatan sebagai Ketua Menteri bukanlah untuk dimegah tetapi satu tanggungjawab yang perlu dipikul demi memastikan negeri ini dan rakyatnya sentiasa dipelihara dan merasai pembangunan yang sama dengan negeri lain di negara ini.

“Selain keluasan negeri ini yang begitu besar (sama besar dengan Semenanjung), diduduki hampir 40 kaum serta mempunyai kira-kira 5,000 kampung yang berselerak, pastinya bukan tugas yang mudah.

“Malah, sistem komunikasi yang masih terhad serta bekalan air bersih dan elektrik yang masih belum mencukupi memerlukan saya berusaha lebih gigih lagi bagi memastikan keperluan penduduk tidak kira di bandar atau luar bandar dapat dipenuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Jasamu Dikenang anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di Hotel Riverside Majestic di sini, malam kelmarin.

Mengulas lanjut, sebagai Ketua Menteri baharu, Adenan memberitahu bahawa beliau mempunyai visi untuk memberi penekanan terhadap pembangunan di luar bandar bagi memastikan jurang perbezaan ekonomi rakyat di negeri ini dapat dirapatkan.

Selain itu, pendekatan lain yang diambil dalam merapatkan jurang ekonomi termasuk mengutamakan pembangunan kemahiran.

“Ini termasuk dalam bidang industri dan teknologi dan selari dengan pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang dilihat mampu menyediakan peluang pekerjaan yang baik dengan gaji lebih tinggi kepada rakyat negeri ini.

“Oleh itu, saya berharap rakyat dapat merebut peluang yang disediakan dan pelajarilah ilmu kemahiran kerana kita tidak mahu Sarawak hanya mengeluarkan sumber mentah sahaja sebaliknya menghasilkan sumber tenaga mahir untuk memenuhi keperluan di SCORE,” jelasnya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai keharmonian yang dimiliki Sarawak hari ini Adenan berkata, Sarawak mempunyai keunikan tersendiri dengan rakyatnya mampu hidup bersatu walaupun berbeza budaya dan agama.

Justeru beliau menegaskan bahawa sesiapa sahaja yang mempunyai niat untuk memporak-porandakan negeri ini beliau tidak akan berdiam diri.

“Kelebihan ini (keharmonian) menyebabkan kita di Sarawak sering dicemburui pihak atau individu tertentu khususnya dari Semenanjung yang sentiasa cuba membawa fahaman dan budaya yang tidak baik ke negeri ini.

“Sebab itulah saya tidak akan berdiam diri dan saya akan pastikan pintu Sarawak ditutup kepada pihak tersebut,” tegasnya.

Adenan dalam pada itu turut menegaskan bahawa beliau akan meneruskan segala dasar pembangunan bekas Ketua Menteri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud demi kelangsungan pembangunan negeri Sarawak yang lebih cemerlang.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) yang Ahli Lembaga AKYBMS Datuk Mohd Naroden Majais.

Bercerita mengenai majlis tersebut Adenan telah menerima cenderamata atas khidmatnya sebagai pengerusi AKYBMS selama sembilan tahun iaitu dari 5 Julai 2005 sehingga 21 April 2014.

sumber dipetik dari Utusan Borneo


Blog, Updated at: Monday, June 09, 2014

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

Lazada Malaysia

NUFFNANG