Lazada Malaysia

Kecilkan Kabinet Sarawak, Ganti Wakil Rakyat Tidak Cemerlang

Miri:Sarawak perlu mengecilkan jumlah ahli kabinet seterusnya menggantikan mana-mana wakil rakyat yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang semasa memegang portfolio itu.

Aktivis Sosial Wan Zain Syed Mohdzar berkata ia bersesuaian dengan peringatan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem agar semua wakil rakyat kerap turun padang.

“Sikap tegas pemimpin nombor satu Sarawak itu sudah tentu meyakinkan rakyat dan mana-mana wakil rakyat yang tidak melaksanakan tanggungjawab dengan baik perlu diganti,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Menurutnya, sudah tiba masanya kabinet negeri dikecilkan bagi memberi fokus kepada pembangunan yang lebih mapan dan berterusan.

“Kita mahu melihat semua wakil rakyat Sarawak memperjuangkan nasib rakyat di kawasan masing-masing dan bukannya bersikap tunggu dan lihat,” ujarnya.

Menurutnya, peluang harus diberikan kepada muka baharu yang muda dan aktif dalam kabinet negeri supaya pembangunan untuk Sarawak lebih segar dengan ideologi baharu.

Pada masa sama, jumlah setiausaha politik yang terlalu ramai juga perlu dikurangkan kerana ada kalangan mereka tidak memahami tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Mengulas mengenai prestasi cemerlang Adenan dalam tempoh 100 hari, Wan Zain menyifatkan Ketua Menteri baharu itu seorang yang berpandangan jauh dan bersikap terbuka.

Katanya Adenan secara bersemuka dengan Perdana Menteri bagi membincangkan isu meningkatkan royalti minyak dan gas daripada lima peratus kepada 20 peratus pada satu majlis Gawai di Miri.

“Kita melihat Adenan seorang yang berani menyuarakan pendirian untuk keperluan rakyat Sarawak dan pemimpin seperti beliau perlu dicontohi oleh wakil-wakil rakyat dalam kerajaan negeri,” katanya.

Menurutnya, wakil rakyat yang hanya menjadi ‘pemerhati’ dan kurang bersuara dalam kabinet, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen perlu ditukar kepada muka baharu yang lebih berdaya saing dan memikirkan keperluan rakyat. - utusan borneo


Blog, Updated at: Monday, June 09, 2014

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

Lazada Malaysia

NUFFNANG