Lazada Malaysia

Bunuh buruh, sembilan individu digantung

SHAH ALAM - Sembilan individu termasuk dua wanita dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas disabitkan dengan pertuduhan membunuh seorang buruh, dalam satu perhimpunan yang menyalahi undang-undang, empat tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim, Datuk Nurchaya Arshad terhadap S Nirmala, 31,  M Jeyenthi, 23, L Steven, 23,  M John, 39, S Yuvaraja, 27, dan S Chandasegaran, 38, selepas berpuas hati terhadap kes pendakwaan.
"Berdasarkan laporan pakar patologi, kecederaan yang dialami mangsa menunjukkan bahawa ianya bukan sekadar untuk memberi pengajaran, malah ia melampaui," katanya.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tiga daripada tertuduh yang merupakan remaja lelaki dipenjara sehingga mendapat perkenan Sultan Selangor berikutan ketika kejadian itu masing- masing berumur 15 sehingga 17 tahun.

Kesemua tertuduh didakwa sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan sengaja telah menyebabkan kematian G Stowan, 19, di Jalan Orkid, Kawasan Kelab Golf Bukit Beruntung, Selangor.
Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Selain itu, mereka juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu menyebabkan kecederaan parah terhadap G Balu, 21, dengan bersenjatakan antaranya kayu hoki, parang dan pisau.
Berdasarkan pertuduhan, kedua- dua perbuatan itu didakwa dilakukan antara jam 2 hingga 5 pagi pada 14 Januari 2010.
Pertuduhan kedua dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, Buruh ladang, S Chandasegaran dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan manakala pengait kelapa sawit, L Steven, penganggur, M John serta S Yuvaraja dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun dan tiga sebatan.
Suri rumah S Nirmala dan M Jeyenthi terselamat daripada hukuman sebatan atas faktor jantina dan hanya perlu menjalani hukuman penjara tiga tahun sahaja.
Mahkamah juga menjatuhkan hukuman denda RM1,000 terhadap S Chandasegaran yang turut menghadapi pertuduhan ketiga iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas S Vinod, 17 dengan memukul menggunakan tangan di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
"Jika gagal membayar denda, tambahan penjara enam bulan akan dikenakan,"katanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fazillah Begum Abdul Ghani manakala tertuduh diwakili peguam bela, M Madheven, Muhammad Rafique Rashid Ali, Imran Hadzalie Abdul Hamid dan K A Ramu.
Seramai 20 saksi pendakwaan dan tertuduh sebagai saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang prosiding berlangsung. -sinar harian


Blog, Updated at: Friday, June 20, 2014

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

NUFFNANG