Lazada Malaysia

Judi Piala Dunia: Polis Tahan 12 Bookie

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan 12 'bookie' perlawanan bola sepak Piala Dunia 2014 dalam serbuan berasingan di seluruh negeri ini dari 13 Jun hingga Rabu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A. Thaiveegan berkata mereka termasuk seorang wanita, yang berusia antara 28 dan 60 tahun, didapati menganjurkan kegiatan perjudian menerusi pelbagai saluran melibatkan wang pertaruhan dari RM100 hingga RM2,000.

"Ada kaki judi yang membuat pertaruhan secara dalam talian, menerusi telefon bimbit atau berurusan terus dengan bookie terbabit," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Beliau berkata sebanyak 11 serbuan dibuat di kafe, kedai kopi dan rumah di Bukit Tengah Bukit Mertajam, Butterworth, Batu Maung dan Sungai Nibong.

Dalam serbuan itu, polis merampas wang tunai berjumlah RM8,971, jadual perlawanan bola sepak, sebuah komputer riba, dua iPad, 19 resit pertaruhan dan 10 telefon bimbit.

Thaiveegan berkata kesemua yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah dan sembilan daripadanya dibebaskan dengan jaminan polis manakala tiga lagi dalam proses reman.

Polis menubuhkan tujuh pasukan khas yang diselia Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Mazlan Kesah di bawah 'Ops Soga' yang dilancarkan bermula 26 Mei lepas hingga 13 Julai ini.

Beliau berkata pemantauan berterusan akan dilakukan tanpa mengira waktu dan lokasi berikutan perlawanan berprestij itu menjadi tumpuan ramai peminat bola sepak terutamanya kaki judi.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang kegiatan berunsur pertaruhan di kawasan mereka dengan menghubungi balai polis berhampiran. -mstar


Blog, Updated at: Thursday, June 19, 2014

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

NUFFNANG