Lazada Malaysia

Kes Lelaki Bunuh Isteri Dan Dua Anak Di Sibu, Perbicaraan Bermula

SIBU, 7 Julai (Bernama) -- Perbicaraan seorang lelaki dituduh membunuh isteri dan dua anaknya di rumah mereka di kawasan perumahan Pulau Li Hua di sini pada 5 Julai tahun lepas, bermula di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Dalam kenyataan pembukaannya bagi kes itu, Peguam Kanan Persekutuan Yaacub Chik berkata tertuduh, Jacob Tiang Lee Yee, 44, bekas kontraktor tapak ladang kelapa sawit, menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh Ling Yung Ming (isterinya), Christine Tiang Soon Ai (anak perempuan) dan Victor Tiang Soon Sheng (anak lelaki) pada 5 Julai tahun lepas antara 6.20 pagi hingga 9.50 pagi.

Tertuduh menghadapi hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Yacuub berkata tertuduh juga menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 307 kanun sama iaitu cuba membunuh seorang lagi anak lelakinya Vincent Tiang Soon Thai, di tempat dan pada masa dan tarikh sama.

Jika sabit kesalahan, Jacob boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan dalam kes ini 20 tahun kerana mencederakan Vincent semasa cuba membunuhnya.

Katanya tertuduh juga menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 309 kanun sama iaitu cuba membunuh diri di tempat dan pada masa dan tarikh sama, yang membawa hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Yaacub berkata pihak pendakwaan akan bergantung kepada "keterangan langsung, saintifik, perubatan dan keadaan" untuk membuktikan kes terhadap tertuduh.

Beliau berkata tertuduh telah dihantar ke Hospital Sentosa di Kuching untuk pemeriksaan psikiatri.

"Tetapi pada pendapat Dr Lau King Ka selaku pakar perunding psikiatri kanan hospital, tertuduh tahu apa yang dilakukannya dan dia tahu apa yang dilakukannya adalah betul atau salah," katanya.

Kira-kira 38 saksi dijangka dipanggil memberi keterangan terhadap tertuduh yang diwakili peguam Ben Lau.

Yaacub akan dibantu Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azrul Faidz. -Bernama


Blog, Updated at: Monday, July 07, 2014

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

Lazada Malaysia

NUFFNANG