Lazada Malaysia

Ebola: Tindakan Sebar Khabar Angin Dalam Facebook Diselar

KUCHING: Tindakan menyebar khabar angin mengenai penyakit Ebola yang kononnya dikenal pasti di Malaysia baru-baru ini menerusi laman sosial Facebook (FB) diselar.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dengan tegas berkata, pihaknya telah membuat aduan polis berhubung penyebaran khabar angin palsu itu ekoran mendatangkan keraguan serta ketakutan kepada rakyat seluruh negara ini.

“Kes Ebola tidak ada berlaku di negara ini dan kejadian penyebaran khabar angin palsu yang mengatakan terdapat laporan Ebola di sini (Malaysia) amatlah dikesali dan kami bertindak untuk membuat laporan polis mengenai penyebaran palsu itu.
“Ia bukan sahaja mendatangkan kekeliruan, malah turut menyebabkan keraguan serta ketakutan di kalangan masyarakat negara ini,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan tidak bercadang untuk menyembunyikan sebarang laporan mengenai kehadiran Ebola sekiranya ia dilaporkan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Penjagaan Luka Transborneo Ke-2, di Hotel Pullman, di sini, semalam.

“Sekiranya terdapat kes atau laporan mengenai Ebola, kami akan terus membuat pengumuman supaya rakyat bersiap sedia dengan segala persiapan pencegahan,” tegas beliau.

Jelasnya, pihak kementerian kesihatan akan menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap warga asing yang berasal dari negara yang ada menghidapi Ebola.

“Sekiranya warga asing dari negara yang ada menghidapi Ebola, kita akan buat pemeriksaan menyeluruh dan merujuk pesakit kepada klinik atau hospital dan tindakan wajar akan dilaksanakan bagi mencegah penyakit itu terus menular di sini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham mengambil kesempatan untuk menyeru rakyat Malaysia agar memberi tumpuan terhadap tahap kebersihan persekitaran.

Katanya, kebersihan menjadi teras utama bagi mencegah penyakit dari terus merebak.

“Kami telah pun mengerahkan kakitangan kami untuk terus bekerjasama dengan pelbagai jabatan kerajaan mahupun swasta dalam memperkasa serta memberi pendedahan khusus mengenai isu kebersihan dalam kehidupan seharian.

“Sekiranya kebersihan berada pada tahap yang baik serta memuaskan, segala jenis penyakit pasti boleh dicegah sebelum ia mula merebak,” ujarnya. -Utusan Borneo


Blog, Updated at: Saturday, August 16, 2014

0 comments:

Post a Comment

Pemilik Blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang komen, hasutan atau unsur jenayah yang menyalahi undang-undang Negara. Setiap komen adalah liabiliti peribadi pihak yang membuat komen.

Followers

Lazada Malaysia

NUFFNANG